Pas terkena badi, mungkin hilang Terengganu?


 

Berbeza dengan dapatan kajian beberapa agensi tinjauan pendapat yang menekankan 'kehebatan' Pas dalam Perikatan Nasional, terutama dalam Pilihan Raya Negeri Johor baru baru ini sehingga mampu mengambil undi Melayu dan menjadi saingan sengit kepada BN, di Terengganu parti Islam itu mula menghadapi ketidakpuasan hati rakyat.


Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, prestasi pentadbiran Pas di Terengganu dipertikaikan sejak kebelakangan kerana tidak banyak kemajuan yang dibawa selepas 4 tahun.


Katanya, prestasi ekonomi negeri seharusnya lebih baik kerana wang royalti RM1 bilion setahun dan pemimpin Pas dijanjikan tidak menyeleweng peruntukan, namun hakikatnya keadaan pentadbiran Pas tidaklah lebih baik berbanding BN


"Di Terengganu mereka tidak berjaya menguruskan negeri, malah lebih buruk daripada Umno. Dari segi amalan nepotisme, ketidakupayaan urus negeri sampailah ke Dewan Undangan Negeri pun tidak berjaya diuruskan. Malah berlaku pertelagahan dengan Istana dan sebagainya.


"Hal ini menjadi tanda Pas akan hilang kekuasaan di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke 15. Dan saya rasa rakyat pun dah nampak benda ini," katanya ketika dihubungi.


Tambah Azan lagi, ketidak tentuan prestasi Pas di Terengganu itu boleh disimpulkan berpunca daripada tindakan pemimpin kanan mereka yang bersubahat meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020.


Jelas mantan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, akibat Pas melanggar hukum hakam agama yang mereka ceramahkan sebelum itu maka parti itu terkena 'badi' dan kemurkaan Tuhan.


"Sumpahan kena kepada Pas kerana mempermainkan agama. Rakyat Malaysia tengok pimpinan tinggi Pas mempermainkan agama, hukum hakam keluar dari mulut mereka ikut suka dan akhirnya tempelak kena pada mereka semula.


"Pimpinan Pas kata haram jatuhkan kerajaan tetapi mereka ikut menjatuhkan. Perbuatan ini kemungkarannya lebih besar apabila dilakukan oleh seorang pemimpin berbanding ahli biasa. Maka parti itu terkena bala


"Dalam hal ini Tuhan telah telah menunjukkan sesuatu dengan cara yang sangat misteri," katanya lagi.

No comments: