DAP mungkin hilang 5 daripada 42 kerusi Parlimen pada PRU15, kata Guan Eng

 


Lim Guan Eng mahu semua parti komponen PH menggunakan logo sama dalam pilihan raya akan datang.

PETALING JAYA: DAP menjangkakan lima daripada 42 kerusi Parlimen yang disandang parti itu akan hilang berdasarkan corak pengundian dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Pengerusinya, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, keputusan PRN Johor juga menunjukkan DAP perlu mempertahankan empat daripada lima kerusi Parlimennya di negeri itu, sambil menyifatkan kerusi Labis mungkin berdepan sedikit kesukaran.

“Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini berkata, beliau tidak akan bertanding semula di kerusi Parlimen Pulai kerana berdasarkan keputusan PRN Johor, beliau akan kalah.

“Nur Jazlan berkata, walaupun partinya menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Barisan Nasional (BN) bukannya parti majoriti di Johor kerana hanya menguasai 43% undi popular.

“Ini bermakna, DAP masih relevan di negeri itu,” katanya dalam ucapan sulung sebagai Pengerusi DAP dalam pemukiman politik DAP Selangor hari ini.

Khamis lalu, Nur Jazlan mengumumkan beliau tidak akan bertanding untuk merampas semula kerusi Pulai, yang mana beliau tewas kepada Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, Lim yakin masih ada masa untuk DAP mengekalkan semua 42 kerusi Parlimen yang dimenanginya pada 2018, dalam PRU15.

“Ini boleh berlaku sekiranya parti pembangkang mencari formula untuk menyatukan kekuatan mereka bagi melawan BN dan tidak bertanding menentang sesama sendiri,” katanya.

Beliau berkata, formula ini juga perlu untuk Pakatan Harapan (PH) mengekalkan kerajaan negeri yang dimenangi gabungan itu pada PRU14.

Lim turut mengulas keperluan untuk semua parti komponen PH menggunakan logo gabungan itu dalam pilihan raya akan datang.

“Kita perlu berkongsi kemenangan supaya kita boleh memenangi lebih banyak kerusi bersama-sama. Tiada gunanya DAP atau PKR menang kerusi menggunakan logo masing-masing, sekiranya kita tidak boleh berkuasa bersama.

“Untuk itu, perlu ada logo yang boleh diterima semua dan PRN Johor membuktikan logo PH menang lebih banyak kerusi berbanding parti pembangkang lain.”

Dalam PRN Johor pada 12 Mac lalu, PKR memilih untuk bertanding menggunakan logo sendiri berbanding logo PH.

Parti itu berkata, PH memenangi PRU14 ketika semua parti komponen PH menggunakan logo PKR kerana gabungan itu belum didaftarkan ketika itu.


No comments: