Antara Saifuddin dan Rafizi, siapa lebih layak merebut jawatan Timbalan Presiden PKR?

 Antara Saifuddin dan Rafizi, siapa lebih layak merebut jawatan Timbalan Presiden PKR?


Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Na­sution Ismail disifatkan lebih sesuai dan layak untuk bertan­ding sebagai Timbalan Presiden di dalam usaha memperkukuh serta membentuk penyatuan parti bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Rafizi Ramli yang membuat kemunculan semula dilihat lebih sesuai bertanding jawatan Naib Presiden dan kembali mengambil hati para penyokong terlebih dahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengerusi PKR negeri, Noor Amin Ahmad berkata, Rafizi diakui popular dan telah banyak menyumbang kepada parti, namun apabila beliau memilih untuk bercuti di saat parti berada dalam keadaan tidak menentu ekoran ‘Langkah Sheraton’ ia sangat mengecewakan.

Justeru beliau berpandangan, adalah lebih baik Rafizi bertan­ding jawatan Naib Presiden terlebih dahulu dalam pemilihan nanti seterusnya kembali jalinkan hubungan dengan bekas penyokongnya yang kecewa.

“Tidak ada masalah bertan­ding, kita demokrasi sesiapa sahaja boleh bertanding, cuma apabila beliau (Rafizi) ambil cuti selepas dilantik (Naib Pre­siden), saya fikir elok kembali berpe­ranan jumpa anggota parti semula.

“Ambil dulu hati penyokong yang kecewa. Kita bakal hadapi PRU-15 tidak lama lagi, tiga atau empat tahun akan ada lagi pemilihan parti lagi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kangar.

Sebelum ini, Rafizi yang membuat kemunculan semula mengumumkan akan bertan­ding jawatan Timbalan Pre­siden PKR dalam pemilihan parti akan datang.

Rafizi menerusi satu kenya­taan berkata, politik progresif pelbagai bangsa sedang berada dalam bahaya jika PKR dan Pakatan Harapan (PH) terus menjadi parti ketiga kerana gagal memikat pengundi atas pagar.

“Atas kesedaran itu, saya membuat keputusan untuk kembali menyertai gelanggang politik dengan mengesahkan saya akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang,” kata Rafizi menerusi kenyataan tersebut.

Pada pemilihan lalu, Rafizi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan Timbalan Presiden namun beliau kemudian dilantik sebagai Naib Presiden dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi sesi 2018-2021.

Rafizi bagaimanapun me­ngam­bil keputusan untuk me­re­hatkan diri daripada gelang­gang politik pada awal 2019.

Pada Februari 2020, sekumpulan ahli-ahli Parlimen PKR diketuai Mohamed Azmin me­ninggalkan parti ketika berlaku krisis politik ‘Langkah Sheraton’. Krisis politik tersebut me­nyaksikan kerajaan Pakatan Ha­rapan (PH) tumbang, dan Mohamed Azmin serta kumpulannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Noor Amin yang juga Ketua PKR Bahagian Kangar berkata, Saifuddin adalah sosok yang bersifat penya­tuan.

“Sebagai bekas menteri dan Setiausaha Agung, Saifuddin banyak bersama dengan kerja-kerja parti dan mempunyai hubungan lebih dekat selain memahami situasi dalam parti sebab beliau (Saifuddin) tidak tinggal parti,” katanya.