Panas! Peguam kecam menteri kewangan, sudah-sudahlah tipu rakyat

 


Panas! Peguam kecam menteri kewangan, sudah-sudahlah tipu rakyat

Seorang peguam mendesak Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz supaya tidak terus mengelirukan rakyat dan memberi hujah palsu mengenai kos pampasan yang perlu dibayar kerajaan terhadap institusi perbankan jika moratorium automatik dilaksanakan.

Haniff Khatri Abdulla berkata Seksyen 4 dan Seksyen 5 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 tidak terpakai kepada cadangan moratorium pinjaman membabitkan pihak bank dan pelanggannya.

Jelasnya, akta berkenaan hanya terpakai kepada sumber yang diambil alih untuk kegunaan kerajaan antaranya mengambil alih premis, tenaga kerja dan aset pihak swasta untuk memerangi Covid-19.

“Dalam konteks ini, kita tak cadang ambil alih perjanjian pinjaman tetapi hanya menangguhkan pinjaman pelanggan dan kerajaan tak tertakluk kepada peruntukan Seksyen 4 dan Seksyen 5 bahawa kerajaan perlu bayar pampasan.

“Jangan kelirukan rakyat, jangan bagi kenyataan palsu berkaitan akta berkenaan,” katanya sambil meminta Zafrul supaya memahami akta di dalam Ordinan Darurat yang digubal oleh Perikatan Nasional, kerajaan yang dinaunginya sendiri.

“Beliau tak boleh kata moratorium itu adalah satu fasiliti yang diambil oleh kerajaan daripada bank. Itu tidak benar.”

Dalam temu ramah eksklusif bersama Sinar Harian semalam, Zafrul berkata walaupun Ordinan Darurat telah memberikan kuasa kepada kerajaan untuk memaksa bank mengenakan moratorium, ia juga menetapkan bahawa kerajaan perlu membayar balik kos pampasan kepada institusi perbankan sekiranya bertekad mahu moratorium pukal dilaksanakan.

Haniff berkata, sekiranya Zafrul mahu melihat konteks pemberian pampasan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 5 Ordinan Darurat, “Adakah kerajaan perlu beri pampasan kepada rakyat yang hilang pekerjaan kerana tidak boleh bergerak dan mencari rezeki? Sudah tentu tidak… Itu yang dia kena faham.”

Justeru, beliau mendesak supaya Zafrul “menutup mulut” dalam menyentuh mengenai perundangan dan meminta Menteri Kewangan PN itu mendapatkan nasihat Pejabat Peguam Negara terhadap sebarang kemusykilan.

“Cukup-cukuplah beri pandangan perundangan. Sama ada beliau faham atau tidak cadangan (moratorium automatik), beliau perlu minta nasihat Peguam Negara mengenai tafsiran pemakaian Seksyen 4 dan Seksyen 5 Ordinan Darurat berkenaan,” katanya.

Di bawah Seksyen 4 Ordinan Darurat, ia menjelaskan bagi tempoh darurat, Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana individu yang diberi kuasa boleh meminta apa-apa sumber untuk digunakan bagi apa-apa maksud; memberi arahan berhubung dengan pengenaan apa-apa fi atau caj yang boleh dikenakan oleh orang yang sumbernya dimintanya dan memberikan apa-apa arahan berhubung penggunaan, pengurusan dan kawalan sumber manusia kepada kepada orang yang sumbernya diminta.

Sumber itu termasuklah sumber manusia, kemudahan, utiliti dan aset, pengawal atau pengurus sumber manusia.

Manakala di bawah Seksyen 5 Ordinan Darurat menjelaskan apa-apa peruntukan Perlembagaan Persekutuan jika mana-mana tanah, bangunan atau harta alih diambil milikan di bawah Seksyen 3 atau sumber diminta untuk digunakan di bawah Seksyen 4, pampasan berkenaan dengan pemilikan atau penggunaan hendaklah ditafsirkan oleh orang yang diberi kuasa.

No comments: