JIKA KONGRES PKR SECARA MAYA PUN TAK DIBENARKAN MKN, JANGAN MIMPILAH SIDANG PARLIMEN HIBRID JADI KENYATAAN!!

 

Dalam satu perkembangan yang dianggap mengejutkan dan di luar jangkaan, PKR telah menerima surat daripada Majlis Keselamatan Negara atau MKN dan makluman lisan Pendafrar Pertubuhan (ROS) agar menangguhkan Kongres Nasional parti itu yang dijadual berlangsung esok, 6 Jun 2021.

Arahan daripada MKN itu diterima pada jam 6.21 petang semalam, 4 Jun 2021.

Arahan terbaru MKN ini adalah bertentangan dengan surat mereka bertarikh 27 Mei lalu yang menyatakan MKN tiada halangan terhadap penganjuran Kongres Nasional PKR yang akan diadakan sepenuhnya dalam talian itu.

Sehubungan itu, Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya merakam bantahan keras terhadap tindakan saat akhir MKN itu, namun akur untuk menangguhkannya ke suatu tarikh lain yang akan dimaklumkan kemudian.

Begitu pun, tambah beliau, butiran keputusan itu akan diumumkan oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang akan muncul secara langsung dalam Amanat Khas melalui laman Facebook PKR pada jam 11 pagi esok, Ahad 6 Jun 2021.

Anwar juga katanya, akan turut menyentuh isu-isu lain seperti Covid19, ekonomi dan perkembangan politik semasa dalam amanat khasnya itu nanti.

Langkah MKN mengarahkan penangguhan ini memang mengejutkan, janggal dan di luar jangkaan kerana Konges Nasional kali ini memang dirancang diadakan sepenuhnya dalam talian melalui applikasi Zoom.

Tambahan lagi, semalam dan hari ini telah pun selesai diadakan Kongres Wanita dan AMK PKR yang juga dilangsungkan secara dalam talian.

Apa alasan sebenar MKN dan ROS mengarahkan penangguhan itu?

Jika Covid19 alasannya, sejak bila virus itu boleh merebak melalui talian internet atau mampu menembusi aplikasi Zoom?

Dalam hal ini, bagaimana dengan murid-murid sekolah yang mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah atau PdPR sepanjang tempoh pandemik ini?

Apakah MKN tidak mahu mengeluarkan arahan yang sama kepada Kementerian Pendidikan?

Atau arahan ini lebih bertujuan politik untuk mengelakkan kerajaan daripada terdedah kepada teguran dan kritikan?

Melangkah lebih jauh pula, jika Kongres Nasional PKR yang sepenuhnya dalam talian pun tidak dibenarkan oleh MKN, bagaimana dengan sidang Parlimen hibrid yang kononnya dalam kajian kerajaan untuk melaksanakannya sebagaimana dimaklumkan oleh Takiyuddin Hassan semalam?

Sidang Parlimen hibrid adalah cantuman antara fizikal dan maya di mana sebahagian Ahli Parlimen perlu hadir ke Bangunan Parlimen, manakala sebahagian yang lain akan menyertainya secara maya.

Kalau sepenuhnya melalui maya tidak dibenarkan oleh MKN, di mana logiknya MKN akan membenarkan sidang Parlimen secara hibrid?

Lagi pun, Pengerusi MKN adalah Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin yang memang diketahui takut Parlimen dibuka demi bimbang kehilangan jawatannya.

Ternampak munasabahkah Mahiaddin akan tiba-tiba bertukar menjadi berani membenarkan sidang Parlimen secara hibrid?

Akhirnya, yang boleh tanpa halangan barangkali hanya menanam pokok atau membela ikan hibrid sajalah!!! 

(ShahbudinHusin 05/06/2021)