Kerajaan buat ‘u-turn’, kini tak benar orang ramai pilih vaksin

 

Buat masa ini, terdapat tiga jenis vaksin yang tersedia buat rakyat Malaysia, daripada pengeluar Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.

PETALING JAYA: Kerajaan telah memutuskan tidak membenarkan orang awam memilih vaksin untuk diambil, kata menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin hari ini.

Pada Khamis, Khairy berkata, kerajaan sedang berusaha menambah satu ciri ke aplikasi MySejahtera untuk membolehkan orang ramai mendapatkan vaksin pilihan mereka.

“Pada mulanya, kita fikir (untuk beri orang awam pilihan), tetapi kini perhatian kita adalah untuk meningkatkan angka (vaksinasi). Jadi kita akan beri apa yang ada,” kata beliau.

“Jika (orang awam) diberi pilihan, mungkin akan memperlahankan (usaha vaksinasi),” kata beliau pada sidang media selepas melawat pusat vaksinasi di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini menyokong keputusan kerajaan membenarkan orang awam memilih jenis vaksin yang mereka mahu bawah PICK.

Katanya kepada FMT, langkah tidak membenarkan penerima memilih suntikan mereka boleh menyebabkan individu yang telah sedia keberatan terus mengelak untuk divaksin sama sekali.

“Dengan memberikan orang awam peluang memilih vaksin (yang ingin diambil), ini dapat meyakinkan rakyat bahawa mereka akan dapat vaksin yang berkesan,” katanya.

Buat masa ini, terdapat tiga jenis vaksin yang tersedia buat rakyat Malaysia, daripada pengeluar Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.

Walaupun AstraZeneca sebelum ini dikeluarkan daripada PICK, dan pengambilannya hanya ditawarkan secara sukarela, ia kini dimasukkan kembali ke dalam arus perdana program tersebut kerana mendapat permintaan tinggi setelah pendaftaran dibuka bagi beberapa negeri.

No comments: