Gempar! Adun Bersatu bakal lompat parti?

 


Gempar! Adun Bersatu bakal lompat parti?


Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang menafikan dakwaan beliau pro-UMNO dan bakal lompat parti kerana dikatakan banyak kali tidak menghadiri program anjuran parti sendiri.

Terbaru, beliau dikatakan tidak menghadiri mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor di Putrajaya yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu.

Mazlan yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor berkata, beliau enggan peduli dakwaan yang dibuat dan menyifatkan itu sebagai persepsi dan andaian sesetengah pihak.

“Secara kebetulan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Johor dan mesyuarat parti pun buat tarikh yang sama.

“Jadi saya selaku Exco kerajaan yang menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan, saya mengutamakan hal berkaitan rakyat dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Jadi kita kurangkan pasal parti ini, kita lebihkan fokus kerja, pasal pengurusan rakyat. Mesyuarat Exco ni penting, kena hadir kan?” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Sambutan Hari RTM Ke-75 peringkat Negeri Johor bertempat di Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar di sini, pada Khamis.

Bekas Pengerusi Bersatu Johor itu turut menegaskan masih menjadi ahli Bersatu.

Jelasnya, pelbagai dakwaan dilemparkan terhadapnya termasuk menukar pendaftaran mengundi ke daerah lain.

“Cuba check (semak). Nama dan IC (kad pengenalan) saya masih lagi di DUN Puteri Wangsa.

“Yang melompat, ada macam-macam ‘katak’ lompat tapi saya tak pernah lompat parti pun tapi parti saya pula yang melompat. Itu terbalik, kena bezakan.

“Ada orang cakap YB Mazlan buat parti. Awak cuba faham pasal istilah parti. Saya tak pernah pun buat parti, saya masih duduk kat sini dan sampai sekarang saya masih ahli Bersatu.

“Saya macam ginilah. Tapi politik ni boleh berubah-ubah.. esok macam tu pula. Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pun asal daripada UMNO, akhirnya menubuhkan parti baru.

“Politik ni kadang-kadang kita tidak boleh jangka apa esok, lusa akan berlaku. Macam-macam perkara, dalam sistem demokrasi, ia tidak menghalang (lompat parti). Tak ada dalam akta boleh menghalang orang nak masuk parti mana,” katanya. 










No comments: