PETALING JAYA: Presiden Umno tidak wajar membuat cabaran terbuka mendesak menteri meletakkan jawatan, kata Annuar Musa.
Bekas setiausaha agung Umno itu berkata budaya cabar-mencabar tidak seharusnya digalakkan dalam parti kerana akan memberikan kesan yang buruk.
“Apa kata kalau orang lain pula yang cabar presiden? Bila presiden dicabar supaya meletakkan jawatan selepas diseret ke mahkamah, dalam tempoh satu minggu selepas saya dipecat, saya tidak bersetuju tekan presiden untuk letak jawatan.
“Kita diajar untuk menghormati institusi presiden dan ia perlu dihormati,” katanya pada program bicara #PAU2020 yang disiarkan secara langsung melalui facebook hari ini.
Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan penangguhan pada Perhimpunan Agung Umno hari ini mencabar seorang menteri daripada parti itu agar meletakkan jawatan dalam Kabinet.
Selain melabelkan pemimpin tersebut sebagai ‘makhluk perosak’, Zahid juga mendakwa menteri berkenaan ‘menikam’ Umno dari belakang.
“Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok duduk dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan kerusi empuk, lihat dan harus tahu bahawa mereka yang ada di sana termasuk seorang menteri tapi tak ada di pentas ini tapi menikam Umno dari belakang.
“Kalau dia anak jantan dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak, kalau bukan kerana Umno tak mungkin dia ada dalam kementerian berkenaan,” katanya.
Annuar berkata, ketika dipecat sebagai setiausaha agung Umno, beliau tidak boleh marah dengan tindakan itu hingga melemahkan institusi presiden.
Bagaimanapun katanya, setia kepada institusi presiden dengan setia kepada individu adalah berbeza, manakala tidak setia kepada parti juga berbeza.
“Setia pada parti tak semua kita kena ikut individu, tidak… kalau begitu demokrasi akan mati dalam parti kita.
“Jadi saya fikir cabar-mencabar tak perlu sebab kalau seorang diajar mencabar ada orang lain nanti turut mencabar maka kita akan jadi bahan ketawa orang lain,” katanya.