DARURATKAH MALAYSIA PETANG INI?

 

Jika tiada sebarang halangan, pengundian peirngkat dasar Belanjawan 2021 akan diadakan petang ini.

Ia dijadualkan selepas Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyampaikan penggulungan pada jam 2.00 petang.

Dua kemungkinan akan berlaku dalam pengundian petang ini – Belanjawan 2021 diluluskan atau ditolak.

Sama ada ditolak atau diluluskan, ia banyak bergantung kepada intipati penggulungan oleh Tengku Zafrul nanti.

Sebagaimana disebut dalam perbahasan sebelum ini, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyatakan, blok pembangkang hanya akan memberi sokongan terhadap belanjawan jika beberapa syarat yang dituntut dipenuhi oleh kerajaan.

Syarat yang diminta ialah pengeluaran KWSP maksimum RM10 ribu, lanjutan moratorium pinjaman bank selama enam bulan lagi, pembatalan dana RM85.5 juta untuk Jasa serta RM8.5 juta untuk NGO politik, Penggerak Komuniti Negara.

Bagi BNBBC yang dipengerusikan Najib Razak yang mana keanggotaannya seramai 23 Ahli Parlimen BN, tuntutan mereka khusus berkaitan pengeluaran KWSP dan moratorium pinjaman bank.

Najib secara terbuka dalam perbahasannya menegaskan, tanpa syarat itu dipenuhi oleh kerajaan, BNBBC akan menolak Belanjawan 2021.

Kata beliau, jika kerajaan boleh mengisytiharkan PKPB berkali-kali, tiada sebab moratorium tidak boleh dilanjutkan dan pengeluaran wang KWSP dibenarkan.

Dalam erti kata lain, undi BN adalah bergantung kepada sama ada kerajaan sedia memenuhi tuntutan yang diminta itu atau sebaliknya.

Jika kerajaan tetap dengan pendirian seperti sekarang, BNBBC hampir pasti akan bersama blok pembangkang menolak belanjawan.

Apabila belanjawan ditolak, kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin dikira jatuh dengan sendirinya.

Ia juga menjadikan buat pertama kali dalam sejarah sebuah kerajaan dijatuhkan melalui penolakan terhadap belanjawan.

Meski demikian, sekiranya belanjawan ditolak, Muhyiddin masih ada tiga pilihan – meletak jawatan bersama kabinetnya, memohon pembubaran Parlimen bagi diadakan PRU atau mengisytiharkan darurat.

Ramai yang menjangka, dua pilihan pertama iaitu meletak jawatan dan membubarkan Parlimen bukan merupakan pertimbangan yang ada dalam pemikiran Muhyiddin ketika ini.

Muhyiddin dikatakan tidak mungkin meletak jawatan kerana ia tentu akan dibantah oleh dua orang kanannya dalam kerajaan, Azmin Ali dan Hamzah Zainudddin.

Meletak jawatan untuk memberi laluan pembentukan kerajaan baru bukan saja bererti masa depan Muhyiddin berakhir, tetapi juga merupakan penamat kepada karier politik dua orang kanannya itu.

Lebih-lebih lagi bagi Azmin, kehilangan kuasa adalah detik yang paling ditakutinya, terutama kemungkinan beliau akan didakwa berkaitan “video Haziq”.

Begitu juga dengan memohon pembubaran Parlimen, ia dikatakan bukan menjadi pilihan Muhyiddin kerana Yang Dipertuan Agong dipercayai tidak akan memberi perkenan terhadap perkara itu berikutan wabak Covid19 masih lagi di tahap membimbangkan sekarang ini.

Lagi pula, kalau pun pembubaran Parlimen diperkenankan, ia tetap memberi kesukaran kepada Bersatu untuk berlawan dalam pilihanraya semula nanti.

Ini kerana, walaupun Pas merupakan komponen PN, tetapi parti itu juga bermuafakat bersama UMNO dalam MN dan kiranya kedudukan Bersatu dilihat lemah serta tidak memungkinkan ke arah kemenangan, tidak mustahil Pas lebih memilih UMNO berbanding Bersatu.

Dengan yang demikian, pilihan yang paling mungkin diambil Muhyiddin kiranya belanjwan ditolak ialah mengisytiharkan darurat dengan beliau boleh terus kekal mengetuai kerajaan untuk suatu tempoh tertentu sebelum PRU15 diadakan.

Melalui tempoh tertentu yang ada itu nanti, Muhyiddin dipercayai akan menggunakan segala peluang tersebut untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu dan mencari rakan yang benar-benar sanggup bersamanya untuk menghadapi PRU15.

Maka, apakah petang ini negara akan diisytiharkan darurat?

Apakah Agong akan memperkenankan darurat kali ini setelah baginda pernah menolaknya sebelum ini?

Sekali lagi, kebijaksanaan Agong amat-amat diharapkan oleh seluruh rakyat Malaysia. (Shahbudindotcom 26/11/2020)