PERATURAN 15 LAPOK DAN DRAKONIAN. SPEAKER HARUS BERANI BAWA PERUBAHAN.

 

Selepas Tengku Razaleigh Hamzah menulis surat kepada Speaker Parlimen, Azhar Azizan Harun berkaitan perlunya usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibentangkan dalam Sidang Parlimen akan datang, beberapa lagi Ahli Parlimen dilaporkan turut berbuat demikian.

Hakikat ini menggambarkan betapa usul tersebut adalah penting untuk segera ditamatkan polemiknya.

Bagaimanapun, jawapan Azhar kepada surat Ku Li nyata amat mengecewakan dan tidak menggambarkan amalan demokrasi itu wujud dalam erti kata yang sebenarnya di negara ini.

Ini berikutan beliau masih berselindung di sebalik amalan Peraturan 15 yang menghendaki usul kerajaan diutamakan terlebih dahulu berbanding usul persendirian.

Peraturan 15 ini sebenarnya adalah amalan lapuk dan drakonian yang tidak sesuai lagi dengan kehendak zaman serta perubahan politik.

Jika menunggu usul kerajaan selesai terlebih dahulu barulah usul persendirian hendak diberi laluan, bermakna sehingga kiamat pun ia tidak akan ada peluang untuk dibentangkan.

Kerajaan sentiasa mempunyai bertimbun usul untuk dibentangkan, malah jika mampu menangguhkan hari kiamat, pasti kerajaan pun akan berbuat demikian supaya usul kerajaan tetap diberi kesempatan.

Lebih daripada itu, kerajaan juga kadangkala kerap bermain dengan masa berkaitan usul kerajaan atau sengaja mewujudkan usul tertentu di saat-saat akhir untuk tujuan menghalang usul persendirian, terutama jika usul itu adalah usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Sewajarnya, dalam hal ini Speaker harus membawa pembaharuan berkaitan usul persendirian yang penting dengan membenarkannya dibentangkan atau meminta persetujuan Dewan saja sebelum ia diberi laluan untuk dibentangkan.

Tak usahlah berselindung lagi di sebalik Peraturan 15 kerana usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang tujuannya untuk menentukan keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri adalah jauh lebih penting daripada segala usul kerajaan, walaupun ia adalah usul persendirian.

Bagaimana kerajaan dan Perdana Menteri dapat dihormati jika keabsahan Muhyiddin selaku ketua kerajaan sentiasa diragui?

Dan bagaimana usul kerajaan mahu dijadikan urusan penting dalam Parlimen melebihi usul persendirian yang tujuan murninya adalah untuk menentukan kesahihan kerajaan itu sendiri jika kedudukan kerajaan itu sendiri menimbulkan persoalan?

Selain itu, jika usul persendirian hanya dapat dibentangkan selepas habis semua usul kerajaan, apakah itu demokrasi namanya?

Di mana hak Ahli-Ahli Parlimen pembangkang untuk bersuara dan tidakkah ini sebenarnya suatu sekatan terhadap kebebasan mereka untuk bersuara?

Dengan kedudukan Azhar sebagai pengamal undang-undang yang pandangannya sebelum ini selalu segar, praktikal dan sesuai dengan keperluan semasa, tetapi dengan masih berselindung di sebalik Peraturan 15 setelah memegang jawatan Speaker, ia tidak lain seperti beliau masih cuba untuk terus mendungukan rakyat.

Di dalam banyak negara lain di dunia, Parlimen bukan saja penting, bahkan usul yang bertujuan menguji kedudukan kerajaan tidak pernah diabaikan begitu saja.

Ia sentiasa diberi keutamaan kerana dengan itulah akan lahir sebuah kerajaan yang berwibawa.

Di Parlimen England misalnya, telah sekian lama wujud “Opposition Days” di mana pada hari-hari tersebut pihak pembangkang bebas membawa apa saja usul atau isu untuk dijawab oleh pihak kerajaan.

Di negara kita, adakah wujud kebebasan seperti itu?

Lebih buruk dan malang lagi, dalam jawapan Azhar kepada surat Ku Li, beliau turut mencadangkan agar Ahli Parlimen Gua Musang itu berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan untuk membolehkan sesuatu usul persendirian diberi keutamaan.

Dengan saranan demikian, sedarkah Azhar bahawa beliau telah merendahkan status Parlimen, meletakkannya tidak bebas dan kedudukannya sentiasa berada di bawah telunjuk eksekutif?

Bukankah Parlimen sepatutnya bebas dan terpisah daripada pihak eksekutif?

Lagi pun, mesyuarat Parlimen adalah urusan Ahli-Ahli Parlimen dan Speaker patut ada kebebasan sendiri dalam menguruskannya bersama keperluan yang hendak dibawa oleh mereka itu.

Tidakkah ketua di Parlimen adalah Speaker sendiri dengan jubah labuhnya yang dihormati itu dan bukannya Takiyuddin? (Shahbudondotcom 16/10/2020)



No comments: