Sidang Parlimen bertukar panas, kerajaan PN tidak cukup majoriti




Proses Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 bertukar panas apabila kerajaan gagal mendapat majoriti yang mencukupi.

Ini selepas 15 ahli parlimen berdiri sebagai tanda bantahan terhadap usul RUU tersebut dan memaksa speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun membuat proses undi belah bahagian.

Azhar menangguhkan sidang selama 10 minit dan meminta loceng dibunyikan selama dua minit, sebelum proses belah bahagian dibuat.

Bagaimanapun, Azhar kemudian bangun dan bertindak keluar daripada dewan, sekali gus mengundang reaksi negatif daripada ahli parlimen dari blok pembangkang.

Tindakannya dilihat sengaja memberi masa kepada ahli parlimen kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk berada dalam dewan supaya dapat mengambil bahagian dalam proses belah bahagian.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad sendiri meluahkan rasa hairannya terhadap situasi tersebut.

"YDP Speaker menangguh sidang selama 10 minit selepas membunyikan loceng selama 2 minit untuk melakukan undi belah bahagian.

"Tidak pernah berlaku sebelum ini. Unprecedented!

"Ahli-ahli Parlimen Pembangkang terpinga-pinga! Tunggu apa atau siapa ya?" katanya di Twitter.

Selepas menangguhkan sidang lebih 10 minit, Azhar meluluskan RUU Perbekalan selepas proses belah bahagian mendapat sokongan daripada 111 ahli parlimen, manakala 106 ahli parlimen membantah usul tersebut.

Terdapat lima ahli parlimen yang tidak hadir iaitu Maximus Ongkili (Kota Marudu), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Shafie Apdal (Semporna) dan Christina Liew (Tawau).

Ini menunjukkan kerajaan PN terpaksa menggunakan taktik kotor jika tidak mempunyai majoriti bagi meluluskan sebarang Rang Undang-Undang di Parlimen.

No comments: