KERAJAAN PIMPINAN MUHYIDDIN KEKAL LEMAH , TAK STABIL



Walaupun Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 atau belanjawan tambahan berjaya diluluskan dalam undian belah bahagi di Parlimen petang tadi, tetapi realitinya kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin kekal lemah, tidak stabil serta tidak diyakini.
Dalam undian yang diadakan, 111 menyokong, 106 menolak manakala 5 Ahli Parlimen tidak hadir.
Mereka yang tidak hadir ialah dua daripada PN iaitu Maximus Ongkili (PBS – Kota Marudu) serta Tengku Razaleigh Hamzah (UMNO – Gua Musang) dan tiga daripada blok pembangkang iaitu Wilfred Madius Tangau (Upko – Tuaran), Shafie Apdal (Warisan – Semporna) dan Christina Liew (PH – Tawau).
Dalam undian memilih Speaker Parlimen sebelum ini, Azhar Azizan Harun disokong oleh 111 undi, sementara yang menolaknya ialah 109.
Maximus Ongkili yang dirawat di hospital juga tidak hadir ketika undian memilih Speaker dan Rashid Hasnon (Batu Pahat) tidak mengundi kerana mempengerusikan mesyuarat.
Tetapi, dalam undian belanjawan tambahan ini, oleh kerana Azhar yang mempengerusikan mesyuarat dan Timbalan Speaker boleh mengundi, malangnya undi yang diperolehi blok kerajaan kekal 111.
Kalau dicampur dengan Tengku Razaleigh yang dulu hadir tetapi kali ini tidak hadir, undi yang memihak kepada kerajaan menjadi 112.
Di blok pembangkang, tiga Ahli Parlimen daripada Sabah tidak dapat hadir ke Parlimen hari ini kerana ada kes saman yang difailkan oleh Musa Aman di mahkamah negeri itu.
Ketiga-tiga mereka adalah pemimpin utama kerajaan negeri Sabah di bawah Warisan di mana Shafie adalh Ketua Menteri, manakala Wilfred Madius Tangau dan Christina Liew adalah Timbalan Ketua Menteri.
Selain itu, ketiga-tiga mereka juga sedang sibuk dalam persiapan menghadapi PRN Sabah 26 September depan.
Jika ketiga-tiga mereka hadir, undi blok pembangkang akan menjadi 109 berbanding penyokong kerajaan adalah 111.
Maknanya, meskipun sepatutnya PN bolen mendapat 112 undi, termasuk undi Timbalan Speaker, tetapi kekal 111 kerana ketidakhadiran Tengku Razaleigh.
Itupun, sebelum pengundian petang tadi, Speaker telah menangguhkan mesyuarat selama 10 minit terlebih dahulu, dipercayai untuk memastikan jumlah Ahli Parlimen kerajaan yang berada di dalam dewan benar-benar mencukupi untuk menang undian.
Penangguhan seperti itu adalah suatu keadaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Apakah tanda semua itu?
Tidak lain ia menandakan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin sekarang benar-benar lemah dan tidak stabil.
Selepas ini banyak lagi rang undang-undang perlu diluluskan di Parlimen melalui undian, termasuk Belanjawan 2021 pada sesi akan datang.
Mampukan Muhyiddin menanganinya?
Apakah nanti, Speaker perlu menangguhkan mesyuarat juga setiap kali sebelum undian dijalankan? 
(Shahbudindotcom 17/08/2020)


No comments: