mur
Kepala surat Majlis Ulama Rohingya (MUR) mempunyai nombor rujukan Jakim.
KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menafikan terlibat dalam memberi sebarang pengiktirafan terhadap Majlis Ulama Rohingya (MUR).
Jurucakapnya memberitahu, nombor rujukan JAKIM.PERH/LN.800-7(5) yang tertera di bawah logo sebelah kiri kepala surat MUR bukan pengiktirafan dari JAKIM.
“Berikutan tertera nombor rujukan pada surat yang tular itu, JAKIM menerima pertanyaan awam. JAKIM dengan ini menafikan terlibat dalam memberi sebarang pengiktirafan terhadap pertubuhan tersebut.
“Malah, JAKIM sama sekali tidak terlibat dalam kelulusan pendaftaran NGO kerana kuasa tersebut terletak di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) seperti termaktub dalam Akta Pertubuhan 1966,” kata kenyataan itu hari ini.

Semalam, tular sepucuk surat dari MUR yang memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesilapan melibatkan seorang daripada etnik Rohingya yang didakwa telah mengetengahkan beberapa tuntutan seolah-olah mewakili keseluruhan etnik itu di Malaysia.
Surat itu yang disertakan dengan kenyataan maaf dan mendakwa telah meneliti setiap tuntutan yang dibuat oleh Presiden Pertubuhan Hak Asasi Etnik Rohingya Malaysia (Mehrom), Zafar Ahmad Abdul Ghani.
Menurut MUR, mereka sama sekali tidak menyokong tindakan tersebut dan menyifatkan ia sebagai tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, surat yang dikeluarkan MUR itu mencatatkan nombor rujukan seolah -olah majlis ulama itu turut mendapat pengiktirafan oleh JAKIM.