Isu Rohingya: Pas sindir usah jadi panglima ayam jantan kuat berkokok, ekor berlumuran tahi

Isu Rohingya: Pas sindir usah jadi panglima ayam jantan kuat berkokok, ekor berlumuran tahi



“Jangan bercakap setelah hilangnya kuasa, laksana panglima ayam jantan yang kuat berkokok berderai-derai, sedangkan ekornya berlumuran tahi.”
Demikian ayat penutup tulisan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pelarian Rohingya pada hari keempat puasa hari ini.
Sindiran kepada pihak yang hilang kuasa itu terkandung dalam artikel bertajuk, “Pendatang Rohingya: Antara agama, kemanusiaan dan politik” yang disiar di lidah Pas, Harakahdaily.
Kenyataan rasmi Abdul Hadi itu muncul selepas berlarutan kemarahan sebahagian besar rakyat Malaysia ekoran gelombang fitnah di media-media sosial dalam pelbagai bentuk sama ada teks, video dan rakaman suaraberkaitan pelarian Rohingya.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Marang tersebut membandingkan pendirian Pas dengan Pakatan Harapan (PH) berkenaan isu pelarian Rohingya.
Abdul Hadi menganggap hanya Tun Dr Mahathir Mohamad bersuara di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pas bersama BN dalam menangani isu pelarian Rohingya, walaupun pada ketika itu Pas berada di petak pembangkang dan BN ada suara tersendiri di atas prinsip agama dan kemanusiaan.
“Ini tidak sama seperti PH yang hanya kedengaran suara Tun Mahathir keseorangan di mimbar PBB, tetapi PH lebih sibuk menghadapi krisis dalamannya kerana menanti Tun Mahathir meletakkan jawatan,” bidasnya.
Undang-Undang Kerakyatan 1982 Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai satu daripada lebih 130 etnik di negara majoriti penganut Buddha itu.
Akibatnya, ribuan etnik Rohingya yang mendiami wilayah Rakhine (Arakan) terpaksa melarikan diri ekoran penindasan Myanmar sekali gus mencetus krisis kemanusiaan dan tekanan kepada negara jiran Myanmar yang juga negara anggota ASEAN.
Menurut Abdul Hadi, langkah menangani isu pelarian etnik tersebut perlu dilakukan secara bijak kerana dakwanya ada dalam kalangan pelarian Rohingya hanya mahu menyelamatkan diri dan mencari kesempatan.
“Kita perlu membuat perhitungan secara bijak, kerana di kalangan Rohingya ada yang benar-benar berjuang, maka wajib disokong perjuangan mereka untuk menuntut hak kemanusiaan, kerakyatan dan beragama.
“Ada juga kumpulan yang tidak peduli dengan apa yang berlaku, hanya sekadar mahu menyelamatkan diri sahaja. Bahkan ada juga yang mencari kesempatan sehingga menimbulkan masalah sosial dan keselamatan kepada negara penerima,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berpendapat pendekatan berasaskan Feqah Aulawiyat dan Feqah Muwazanat diambil kira dalam mengurus pelarian Rohingya ditambah dengan penularan wabak Covid-19.
“Maka mencegah mudarat yang lebih besar hendaklah diutamakan daripada menghadapi pendatang yang mencari kesempatan, bukan kerana perjuangan menuntut hak mereka sahaja tanpa perhitungan terhadap diri sendiri.
“Semua pihak telah mengambil langkah awal sebelum ini lagi, sehingga melibatkan NGO Malaysia yang bertali arus pergi ke sempadan membawa bantuan.
“Maka langkah terkini yang diambil oleh pihak keselamatan menyampaikan bantuan bekalan sepatutnya, di samping menghalang bahtera pelarian masuk ke dalam negara dalam suasana seluruh dunia diserang bencana wabak Covid-19 adalah perkara yang sewajarnya,” kata Abdul Hadi.
Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat bertaraf menteri itu berkata, Islam lebih mendahului 1,000 tahun daripada apa yang dikatakan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia 1945-1948 dan Konvensyen Geneva 1951, tetapi percakapan mereka tidak serupa bikin.
“Semua pihak yang hanya pandai mengkritik sepatutnya menyuluh diri sendiri terlebih dahulu dan mengkaji sejarah di tempat asal mereka, bagaimana cara bertindak terhadap pelarian dan apakah layanan mereka terhadap pendatang,” tambahnya lagi.
Selain provokasi dan fitnah oleh individu, sentimen kebencian sebahagian rakyat Malaysia terhadap pelarian Rohingya turut dipacu sejumlah kumpulan Facebook (FB) yang mempunyai ramai pengikut. Antaranya, seperti “32 Juta Rakyat Malaysia Tolak Rohingya” dengan seramai 29,809 pengikut.
Bahkan, media sosial difahamkan milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), FB Bersatu.Tv dan Bersatutv juga terjebak dalam menanam kebencian terhadap etnik Rohingya.


No comments: