Covid-19: Bak kata pakar ekonomi, jangan kedekut bantu rakyat


IBRAHIM  MAT ISA

Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan ketika ini pastinya menjejaskan sumber pendapatan serta memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rakyat terutama golongan B40.
Rakyat sedang mendepani pelbagai kesulitan dalam hidup mereka. Ramai golongan berpendapatan rendah hilang punca rezeki dan kini dalam kesempitan.
Seperti dikongsi di media sosial, dikhabarkan terdapat penduduk kawasan Berserah, Kuantan yang menghadapi kesempitan hidup sehingga ada yang terpaksa keluar bekerja untuk kelangsungan hidup.
Ada mereka yang hidup berkais. Sedang runsing dengan kelangsungan hidup sepanjang tempoh ini kerana tidak boleh bekerja.
Penduduk di kawasan tersebut terdiri daripada golongan berpendapatan rendah yang bekerja sebagai nelayan, buruh dan pembuat keropok.
Kita amat memahami keperluan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan dalam menangani penularan Covid-19. Perintah ini penting dalam usaha memastikan virus tersebut dapat dikawal sebaik-baiknya.
Namun begitu, pihak kerajaan, atau dalam kes penduduk di Berserah itu — kerajaan negeri, perlu proaktif dalam memastikan kebajikan rakyat terbabit terus terbela.
Selain bantuan yang diumumkan sebelum ini, kerajaan perlu memastikan lebih banyak bantuan disalurkan kepada mereka yang terkesan.
Bantulah para nelayan, bantulah para buruh dan bantulah para pembuat keropok. Golongan ini merayu keprihatinan kerajaan.
Berikanlah segala-galanya demi nyawa, kehidupan dan pekerjaan rakyat. Memetik kata-kata pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid — Kerajaan jangan kedekut dalam menangani krisis Covid-19.

No comments: