SELEPAS KOMITED SERAH KUASA KEPADA ANWAR, MAHATHIR SEPATUTNYA LARANG USAHA KUMPUL SD DAN TOLAK USUL PERCAYA PAS




Seiring dengan pengakuan Tun Mahathir Mohamad kepada Anwar Ibrahim dalam pertemuan mereka Khamis lalu bahawa beliau komited berpegang kepada janji peralihan kuasa dan tidak terlibat dengan sebarang komplot mengumpul Akuan Bersumpah atau SD untuk mengekalkannya sehingga habis penggal, sekiranya benar masih sayangkan PH, sekurang-kurangnya dua tindakan di bawah ini harus dilakukannya tanpa bertangguh lagi.

Pertama, mengeluarkan kenyataan keras meminta diberhentikan serta-merta sebarang usaha mengumpul SD itu, tidak kira sama ada ia dilakukan oleh kelompok dalam Bersatu, UMNO atau sebagainya.

Kedua, juga mengeluarkan kenyataan tegas menolak campurtangan Pas mahu menyokongnya sehingga habis penggal melalui usul undi percaya di Parlimen.

Tetapi, adalah Tun Mahathir melakukannya?

Ikut logiknya, setelah membuat pengakuan sekali lagi untuk komited menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim, cuma meminta dianjakkan peralihan kuasa sehingga selesai Sidang Apec pada November, itulah yang seharusnya dilakukan oleh Tun Mahathir.

Ia sekurang-kurangnya dapat menjadikan keadaan menjadi tenang sementara menunggu peralihan kuasa dilaksanakan, seterusnya memastikan PH tidak lagi terancam perpaduannya.

Namun, tidak melakukan kedua-dua perkara tersebut memungkinkan boleh berlakunya banyak kejadian lain yang tidak dijangka.

Apa terjadi, meskipun sekiranya peralihan kuasa telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Presiden 21hb Februari nanti adalah selepas Sidang Apec iaitu November, tetapi usaha golongan keparat mengumpulkan SD untuk tujuan mengekalkan khidmatnya sehingga habis penggal masih lagi berterusan dan tidak pernah dilarang oleh Tun Mahathir?

Cukupkah sekadar menyatakan beliau tidak terlibat dengan komplot tersebut?

Juga, apa akan terjadi jika tarikh peralihan kuasa telah dipersetujui, namun Tun Mahathir masih enggan mengeluarkan kenyataan tegas menyatakan tidak memerlukan sokongan daripada Pas melalui usul undi percaya terhadapnya?

Apakah susah benar bagi Tun Mahathir menolak usul percaya Pas itu sebagaimana beliau kerap membelasah parti Islam itu sebelum ini?

Dalam tempoh 9 bulan daripada sekarang sehingga selesai Sidang Apec pada November depan untuk menanti berlakunya peralihan kuasa, hakikatnya macam-macam perkara boleh berlaku.

Selagi Tun Mahathir tidak mengeluarkan kenyataan tegas dan keras melarang pengumpulan SD dan menolak Pas membawa usul undi percaya terhadapnya, bolehkah dalam tempoh 9 bulan itu beliau benar-benar dipercayai dan diyakini tidak melakukan satu lagi U-Turn seperti yang banyak kali dilakukannya sebelum ini?

Tidakkah mungkin nanti, dengan muka selamba dan kerut-kerut di wajah yang semakin nyata, Tun Mahathir akan berkata, “Memang saya nak serahkan jawatan kepada Anwar dan janji pun sudah dipersetujui, tetapi oleh kerana sokongan untuk saya masih ada, apa saya boleh buat?”

Dalam ertikata lain, bukankah dalam hal ini janji peralihan kuasa sebenarnya lebih baik kekal dilakukan pada Mei dan bukan November?

Menjelang November atau ada masa 9 bulan, selain wanita mengandung sudah boleh melahirkan anak, ular lidi pun sudah bertukar menjadi ular sawa yang cekap membelit di sana sini, kecuali jika Tun Mahathir dengan ikhlas dapat melakukan dua perkara yang disebut di atas tadi.

Maka, apakah tidak mustahil Tun Mahathir juga akan membelit lagi sebuah janj dalam tempoh 9 bulan akan datang? ShahbudinHusin 15/02/2020)