BUKAN MEMBENTUK KERAJAAN BARU, TAPI MEMBAWA LARI KERAJAAN SEDIA UNTUK NAFSU PM LAMA



Mahu tidak mahu, harus diakui bahawa pembentukan kerajaan baru Pakatan Nasional yang hangat diperbualkan sekarang mesti didalangi atau setidak-tidaknya direstui oleh Tun Mahathir Mohamad sendiri.

Jika tanpa restu dan keinginan beliau, tentulah tidak mungkin ia mampu membuatkan Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang ada 87 kes mahkamah jadi tertarik dengannya.

Perkiraan Zahid Hamidi untuk setuju dengan pelawaan membentuk kerajaan baru itu tidak sukar difahami kerana jika kes Guan Eng boleh digugurkan dan Azmin Ali boleh dilindungi dalam isu video seks sejenis, beliau tentu merasakan peluangnya dibebaskan oleh Tun Mahathir juga adalah cerah selepas ini.

Tetapi, fikir punya fikir, tindakan Tun Mahathir mahu membentuk kerajaan lain, sedangkan kerajaan PH sudah sedia wujud dan meletakkannya sebagai Perdana Menteri, ini memang sesuatu yang pelik.

Biasanya, orang yang mahu membentuk kerajaan baru adalah kerana dia ingin berkuasa dan mahu menjadi Perdana Menteri.

Sebaliknya, Tun Mahathir mengusahakan kerajaan Pakatan Nasional dalam kedudukan beliau sudah pun berada di kerusi Perdana Menteri melalui PH.

Dalam erti kata lain, tindakan ini bukanlah membentuk kerajaan baru sebenarnya, tetapi membawa lari kerajaan yang sedia ada bagi mengekalkan Perdana Menteri yang sama.

Tidakkah ini betul-betul pelik dan demi kuasa seseorang itu sanggup jadi munafik?

Malah, perbuatan ini adalah suatu pengkhianatan kepada pengundi yang memberi kemenangan kepada PH dalam PRU14 lalu.

Tujuan kerajaan baru ini bukanlah demi agama atau demi Melayu, tetapi semata-mata kerana nafsu ingin berkuasa Tun Mahathir sentiasa lapar dan dahaga serta kerana ingin memungkiri janji peralihan kuasa yang sudah dipersetujuinya sebelum ini.

Hanya kerana itu, beliau ternampak sanggup mengenepikan rakan-rakan dalam PH yang memenangkannya sebelum ini untuk mencari rakan kongsi baru yang sanggup menyokongnya.

Kini, melalui Pakatan Nasional, matlamat Tun Mahathir hanyalah satu iaitu untuk kekal berkuasa lebih lama, mungkin sehingga mati, malah tidak terikat dengan apa-apa janji peralihan kuasa.

Itulah sebenarnya kerajaan baru yang diura-urakan ini, ia tiada matlamat dan tujuan lain selain daripada itu. (ShahbudinHusin 05/02/2020)

No comments: