SEJARAH DITULIS OLEH PEMENANG



Oleh:Sani Ahmad

"History has been written by the victors” atau dalam bahasa Melayu disebut, “Sejarah ditulis oleh pemenang”. Ungkapan ini kononnya pertama kali dike­mu­kakan oleh Winston Churchill dan ada pula menegaskan ianya berasal dari Napoleon.

Apa yang lebih penting bukannya sejarah itu ditulis oleh pemenang atau yang kecundang, tetapi kebenaran. Disebabkan itulahsejarah amat penting dalam menentukan keputusan yang bakal diambil. 

Kegagalan memahami dan dan mengetahui sejarah akan mengakibatkan sesuatu persoalan atau isu dikupas secara sembrono dan mengikut acuan yang telah dibentuk oleh pemenang.

Lantaran itulah pemikiran masyarakat kita adalah hasil dari acuan pihak luar khususnya penjajah kerana sejarah ditulis oleh mereka. Seperti ketika Pramoedya Ananta Toer ditemubual oleh wartawan tentang sejarah yang dikatakan berpunca daripada kegagalan sistem pendidikan, jawab Pram, "Pendidikan? Sekarang dididik untuk jadi penganut yang berkuasa soalnya, ha... ha... ha.. Habis gimana? Yang membikin program pendidikan ya sama aja nggak tahu. Sori, saya menganggap semua goblok. Sori ya, he.. he.. he..."

Sistem pendidikan kita sejak merdeka adalah mendidik rakyat menjadi penganut pihak berkuasa dan pemerintah seperti dikatakan oleh Pram. Jika ada pandangan berbeza dari pemerintah dan yang berkuasa, bersedialah samada menerima akibat dari sudut fizikal, serangan di media sosial mahupun fitnah untuk membunuh karektor pengkritik.

Sekarang heboh isu Akuan Bersumpah Azilah Hadri yang dijatuhkan hukuman atas kesalahan membunuh wanita Mongolia bernama Altantuya. Berbagai-bagai reaksi yang dizahirkan samada melalui medsos mahupun media tradisi seperti akhbar bercetak dan atas talian malah televisyen. Semua reaksi ini jika dikumpul boleh menumbuhkan pokok buah-buahan dengan begitu banyak ranting dan berbeza buahnya mengikut ranting fikiran dan latarbelakang pendidikan, kecenderungan politik, bangsa, agama dan banyak lagi.

Puncanya kerana kes ini sebelum muncul Akuan Bersumpah tersebut sudah ditulis sejarahnya menurut kehendak pemenang. Siapa pemenangnya jika bukan mereka yang berada di tampuk kekuasaan ketika itu.

Bayangkan sejarah yang telah tertulis bahawa rekod perjalanan keluar masuk wanita Mongolia ini boleh dipadam dan jika ianya angkara virus atau digodam, kenapa hanya rekod mangsa sahaja berlaku sebegitu? 

Sejarah kes ini juga telah menunjukkan tidak ada kesungguhan untuk mengetahui motif wanita malang ini dibunuh. Apabila dibangkitkan soal motif, ianya dibantah dan samada pihak pendakwaan mahupun pembelaan tidak bermati-matian untuk merungkai soal motif ini. Malah lebih mengecewakan adalah apabila Razak Baginda pada 31 Oktober 2008 telah dilepaskan dan dibebaskan, tidak ada rayuan dibuat oleh pasukan pendakwa apatah lagi pihak pembelaan.

Jika benar wanita malang ini adalah perisik asing, kenapa bukan Cawangan Khas yang diarah bertindak kerana sudah wujud unit counter espionage dalam Cawangan Khas? Kenapa pemimpin itu dan Razak Baginda yang begitu gelabah dengan 'perisik asing' ini? Tak perlu 007 atau James Bond atau Jason Bourne untuk melangsaikan ancaman ini. Jebon sudah memadai. 

Perjalanan kes ini dan sejarahnya telah membentuk pendapat umum bahawa wujudnya tangan ghaib yang mencorakkan perbicaraan ini berjalan seperti yang dikehendaki oleh pemenang. 

Oleh itu, sejarah kes ini perlu dikaji dan ditulis semula dengan membenarkan permohonan Azilah Hadri untuk 'review' kes tersebut apabila beliau melakukan kejutan dengan dakwaan begitu 'daring' terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa mengarahkan beliau menjalankan misi menghapuskan 'perisik asing' yang amat merbahaya kepada negara walaupun hakikatnya paling merbahaya kepada dirinya dan Razak Baginda jika menurut sumber-sumber tertutup dan terbuka yang boleh diakses sebelum ini termasuk juga Akuan Bersumpah Azilah terkini.

Samada kita mahu terus meyakini sejarah yang ditulis oleh pemenang sebelum ini dengan fakta yang dimanipulasi atau mengkaji semula bukti-bukti sejarah bagi membetulkan semula fakta yang diselewengkan sekaligus menyelamatkan nyawa dua orang insan yang dikambinghitamkan, atau melihat secara positif bahawa langkah mengkaji semula kes ini adalah untuk membuktikan sejarah ditulis pemenang sebelum ini adalah benar dan sejarah baharu mahu ditulis ini adalah rekaan dan fitnah semata-mata. 
                                                                  
Lebih baik tersilap hukuman melepaskan pesalah daripada tersilap menghukum insan tidak bersalah.

Selamat malam dan renung-renungkan.




No comments: