PH perlu tumpu agenda rakyat, tunai janji manifesto – CEC DAP



Kerajaan PH perlu memberi tumpuan terhadap isu nasional membabitkan agenda rakyat dan menunaikan janji manifesto pilihan raya umum lalu, kata Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP hari ini. 
Menurutnya, kerajaan perlu lebih mendengar suara hati dan nurani rakyat serta bekerja lebih keras bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka baik dari segi ekonomi, pendidikan, pekerjaan dan penjagaan kesihatan. 
Katanya lagi, janji manifesto PRU harus ditunaikan supaya kepercayaan di kalangan rakyat terhadap kerajaan dapat terbina. 
“Di samping itu, rakyat harus dapat melihat bahawa kuasa yang digunakan bukan untuk meraih sebarang kedudukan, sebaliknya untuk kepentingan rakyat. 
“Atas sebab ini, PH perlu menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya umum. 
“Kerajaan PH juga perlu mengambil jalan tengah dalam mentadbir supaya dapat mewakili semua rakyat Malaysia tak kira agama, kaum atau geografi,” kata CEC DAP dalam kenyataan, hari ini. 
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Ahad lalu berkata, 2020 merupakan tahun penting bagi kerajaan PH melaksanakan baki 40 peratus janji dalam manifesto PH yang masih belum ditunaikan.
Beliau berkata berkata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyebut bahawa 60 peratus daripada janji manifesto PH telahpun ditunaikan dan tinggal 40 peratus baki yang perlu dilaksanakan sebelum 2023.
Malaysia untuk rakyat Malaysia
Dalam pada itu, jawatankuasa pusat turut mengecam tindakan pihak lawan yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan ekstremisme agama yang memecah-belahkan perpaduan rakyat negara ini. 
“Negara ini bukan milik satu-satu kaum atau agama, dan tidak ada rakyat Malaysia yang boleh hidup terpisah dalam komuniti mereka sendiri tanpa berinteraksi dan bekerjasama dengan yang lain,” ujarnya. 
CEC DAP turut menempelak media arus perdana yang dikawal Barisan Nasional (BN) dan MCA yang menerbitkan dan melaporkan kenyataan-kenyataan pemimpin mereka yang dilihat boleh menggugat perpaduan rakyat negara ini. 
“DAP menggesa pihak berkuasa agar tidak berpuas hati tetapi bertindak tegas demi kepentingan perpaduan negara, keharmonian kaum dan agama,” katanya

No comments: