WAHAI PAS. JANGAN LUPA SOKONG NAJIB DI MAHKAMAH



Dulu ketika era Najib Razak, Pas hanya sembunyi-sembunyi tentang hubungannya dengan UMNO.
Walaupun diketahui dan difahami tindakan Pas bertanding sendirian dalam PRU14 adalah untuk memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada BN mengekalkan kuasa, mereka tidak pernah mahu mengakuinya.
Dikatakan semua itu fitnah dan dusta belaka serta macam-macam hujah mereka beri untuk menafikannya.
Tetapi, setelah peranan menjadi kuasa ketiga tidak bermakna dan UMNO akhirnya hilang kuasa dalam PRU14 lalu, Pas tidak menunggu lama untuk menjalin hubungan yang rasmi dengan parti itu.
Pada 14 September lalu, kira-kira setahun empat bulan setelah UMNO jadi pembangkang, sama kedudukan dengan Pas – kedua-dua parti mengikat hubungan mereka melalui Piagam Muafakat Nasional yang menjadikan mereka kini satu hati dan satu jiwa dalam politik kuasa.
Terpiagamnya hubungan kerjasama secara rasmi itu dengan sendirinya mengesahkan adanya hubungan belakang tabir dan sembunyi-sembunyi selama ini.
Jika tidak, bagaimanakah hanya dalam tempoh 16 bulan saja suatu ikatan rasmi berjaya ditandatangani tanpa banyak masalah?
Apa pun, sesuai dengan hubungan satu hati dan satu jiwa itu, UMNO dan Pas kini tidak perlu sembunyi-sembunyi atau malu-malu lagi memberitahu dunia tentang ikatan rasmi mereka.
Ibaratnya kini, kalau paha UMNO kena cubit, Pas wajib terasa sama. Jangan buat-buat tak tahu dan malu-malu macam dulu lagi.
Sesuai dengan itu, oleh kerana Najib Razak kini sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah berkaitan skandal 1MDB, Pas tidak harus meletakkan dirinya sebagai penonton semata-mata sebagaimana sebelum ini.
Selepas terjalinnya kerjasama secara rasmi dengan UMNO itu, Pas wajib menunjukkan simpati dan sokongan kepada Najib secara terbuka.
Mulai esok, para pemimpin dan ahli Pas seharusnya mulai mulai hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk tujuan itu.
Dimulai dengan Hadi Awang, kemudian Tuan Ibrahim Tuan Man dan lain-lain pemimpin utama Pas, mereka tidak ada pilihan lagi selain perlu untuk menunjukkan muka mengiringi hari-hari perbicaraan Najib bermula esok hari.
Selepas itu, Pas juga mesti mengerahkan ahli-ahlinya untuk turun seramai yang boleh setiap kali perbicaraan diadakan.
Kalau dalam kes Anwar Ibrahim sebelum ini, pimpinan dan ahli Pas boleh hadir beramai-ramai berpanas dan berhujan ke mahkamah, tiada sebab mereka tidak boleh melakukan perkara yang sama kepada Najib.
Jika itu dapat dilakukan, maka barulah lebih bermakna adanya hubungan kerjasama dan sehati sejiwa dengan UMNO itu.
Janganlah hanya di Dewan Merdeka PWTC yang berhawa dingin saja Pas sanggup hadir beramai-ramai, tetapi tidak pula sedia menunjukkan muka perkarangan mahkamah di Jalan Duta yang terbuka.
Lagi pula, cuaca ketika ini tidaklah panas sangat, cuma hanya perlu memakai topeng penutup hidung saja kerana jerebu sedang melanda negara. (Shahbudindotcom 16/09/2019)


No comments: