KUALA LUMPUR 3 OKT: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dilihat gagal menggalas tugas dengan baik sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap perlaksanaan pilihan raya di negara ini.
Justeru beliau mendesak kerajaan menyatakan cara untuk suruhanjaya itu melaksanakan tanggunjawab dengan lebih efektif bagi memastikan pilihan raya berlaku dengan lebih adil dan bebas.
"Yang saya mahu tekankan adalah bagaimana cara untuk mendesak SPR yang diberikan kuasa begitu besar dan telah menjalankan pilihan raya begitu lama, tidak melaksanakan tanggungjawab dengan baik.
"Ia akan jadikan isu dan dibahaskan di dalam negara dan peringkat antarabangsa. Malaysia tercemar kerana tidak dapat pilihan raya yang bebas dan bersih," kata beliau ketika mengajukan soalan ke empat kepada Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.
Dalam soalan bertulis beliau, Anwar membangkitkan isu ketidakupayayaan SPR untuk mengambil tindakan berdasarkan bidang kuasa sedia ada bagi memperbaiki sendiri kelemahan yang dibangkitan dalam tuntutan gabungan Bersih 2.0 tanpa perlu menunggu cadangan daripada Jawatankuasa Pilihan Parlimen.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Nazri Abdul Aziz menyatakan tuntutan Bersih 2.0 bukan suatu perkara baru yang dibincangkan di parlimen malah SPR mengambil langkah berpandukan asas Perlembagaan Persekutuan dan akta-akta yang diperuntukkan.
"Kerajaan telah tampil menubuhkan jawatankuasa bagi membincangkan keperluan untuk menambahbaik proses pilihan raya yang lebih adil telus dan demokratik. Ini adalah langkah untuk menyediakan ruang kepada pihak-pihak yang tidak berpuas hati melalui wakil dilantik JPP," jawab Nazri.
Anwar kemudian bingkas menyatakan bahawa SPR gagal menguruskan hal-hal berkaitan Fasal 113 Perlembagaan Persekutuan yang tidak dapat disempurnakan dengan baik termasuk melepaskan tanggungjawab kepada parti-parti politik bersabit penyedian daftar pemilih.
"Kita terpaksa kerahkan jentera parti politik untuk mendaftar padahal ini isu asas hak asasi rakyat Malaysia. Ini gagal disempurnakan dengan baik," kata Anwar lagi.
Mesyuarat keempat penggal ketiga sidang Dewan Rakyat ke 12 bermula hari ini hingga 1 Disember 2011.