KUALA LUMPUR, 14 MAC: Pakatan Rakyat akan berbincang dengan semua pihak berkaitan Khamis ini berhubung penggunaan karya Interlok yang dianggap menghina masyarakat India sebagai buku teks sekolah.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, perbincangan turut melibatkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dan beberapa wakil pihak yang menimbulkan keperihatinan berhubung isu karya satera ini.
“Kita putuskan pada hari Khamis jam 1 petang wakil-wakil Pakatan Rakyat termasuk ahli-ahli parlimen akan berbincang dengan wakil-wakil semua pihak termasuk kalangan yang menimbulkan rasa keperihatinan mereka dalam beberapa aspek dan penulisan buku itu yang dianggap menghina maysrakat India,” katanya.
Pakatan Rakyat berpendapat, novel atau hasil karya sastera tidak sepatutnya melibatkan kejadian yang tidak bertanggungjawab seperti pembakaran dan pengharaman buku sebagai sebuah karya sastera.
Perbincangan berkaitan Interlok itu perlu dilihat atas dasar buku teks kerana ia melibatkan sensitiviti semua kaum, kata Anwar.
“Beberapa orang daripada kalangan kita memberikan pandangan, kita mesti mengambil kira keperihatinan dan sesitiviti semua kaum di negara kita,” katanya.