03/03/2011 Share
PETALING JAYA 3 MAC : Kepincangan pemerintahan Umno-BN dapat dilihat dengan jelas apabila skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) menyaksikan kerajaan begitu mudah mengambil keputusan mendakwa bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy atas tuduhan menipu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan media berkata, senario terbaru ini telah menimbulkan persoalan mendalam apabila dengan sewenang-wenangnya seorang Perdana Menteri ditipu oleh menteri.
Malah tambahnya, isu penipuan dalam pemerintahan korup Umno-BN ini bukan sahaja kepada Perdana Menteri tetapi barisan kabinet sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Kebanyakan dari mereka yang 'tertipu' masih berkuasa termasuk Perdana Menteri dan Timbalannya hari ini," tulis Azizah.
Mantan menteri pengangkutan Tan Sri Chan Kong Choy dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Putrajaya atas pertuduhan menipu mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berhubung skandal PKFZ.
Beliau dituduh mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaaan yang membawa hukuman penjara sehingga lebih lima tahun dan denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Chan adalah VVIP kedua yang didakwa berhubung skandal PKFZ yang kosnya dikatakan naik mendadak dan menurut laporan audit mungkin akan menyebabkan negara kehilangan RM12.5 bilion.
Pada 29 Julai tahun lalu, bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik didakwa atas tuduhan menipu kabinet untuk mempersetujui pembelian tanah pada harga yang lebih tinggi.
Empat yang lain, termasuk bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang, OC Phang, juga didakwa berhubung pelbagai kesalahan berhubung pembabitan mereka dalam projek berkenaan.
Oleh yang demikian ujar Azizah, Pakatan Rakyat akan memastikan zaman pemerintahan korup Umno-BN akan berakhir di bawah pentadbiran gagasan itu.
Jelasnya, Pakatan Rakyat akan mengambil alih teraju kerajaan dan akan memerintah dengan lebih adul serta mengamalkan tatakelola yang baik terhadap rakyat.
"Mana mungkin kita (Pakatan Rakyat) membiarkan gerombolan pemimpin cuai yang memberi kerugian RM12 bilion kepada rakyat ini menerajui negara.
"Apa jaminan yang mereka tidak akan melakukan perkara yang sama sedangkan hari ini masih begitu angkuh mengunjurkan pembinaan bangunan 100 tingkat dan lorong pejalan kaki dengan kos tidak di terima akal,"katanya lagi.
Justeru, Azizah menggesa rakyat segera bangkit menolak kepimpinan yang cuai dan berkepentingan ini dari terus memiskinkan negara.
"Rakyat harus bangkit menolak pemimpin cuai dan berkepentingan ini.Sistem pentadbiran yang mengenepikan kepedulian rakyat dan tatakelola yang baik harus ditamatkan,"kata Azizah.