Malaysia berbesar hati dan berbangga tatkala menerima kunjungan rasmi sahabat saya Presiden Lula dan isteri dari Brazil hari ini. Beliau adalah pemimpin dan tokoh yang kental memperjuangkan nasib dan maruah kaum pekerja, lantang dalam keadilan sosial serta tegas menggugah prinsip kemanusiaan di pentas dunia, termasuk kezaliman di Gaza dan perjuangan melindungi bumi dan khazanahnya daripada kemelut dan bencana iklim.
Dalam pertemuan hari ini, kami mengangkat tingkat kerjasama di pelbagai bidang yang dekat dengan kedua-dua negara, yakni perdagangan dan pelaburan, sektor tenaga, teknologi makanan, keterjaminan makanan, pendidikan dan budaya, serta teknologi tinggi dan semikonduktor. Malaysia menzahirkan penghargaan setulusnya kepada Brazil atas dukungan yang diberikan kepada Petronas dan Yinson serta peluang yang dihamparkan bagi memperluas kerjasama dalam teknologi pertanian dan industri makanan.
Dalam sidang media bersama, saya turut berkongsi bahawa pemikiran saya turut dipengaruhi seorang tokoh ilmuwan Brazil yakni Dr. Ezraily Vargas yang pernah membimbing saya ketika muda, apatah lagi kini dalam usaha menterjemah serta mengolah dasar penyelidikan negara. Beliau menanam keyakinan bahawa kemajuan sesebuah negara itu mesti berpaksi dan bertunjangkan ilmu, penyelidikan yang ‘rigorous’ dan inovasi yang menepati semangat zaman (zeitgeist).
Justeru, mesti ditegaskan betapa kunjungan Presiden Luiz Inácio Lula da Silva selain menepati tuntutan diplomatik dan protokol kenegaraan, ia berakar pada nilai bersama (shared values) iaitu, kemanusiaan, keadilan dan harapan untuk dunia yang lebih bermaruah. Lantas, Malaysia dan Brazil berjanji untuk berjalan sederap merapatkan Asia Tenggara dan Amerika Latin sebagai satu ketumbukan perjuangan menjelma kemakmuran dan kemuliaan insan.
—









No comments:
Post a Comment