Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari memuat naik satu pautan bertajuk “kerajaan tak lagi benar syarikat swasta taja lawatan penjawat awam”.
Pautan itu diperoleh dari sebuah portal pro PKR.
Bersama pautan dan tangkap layar artikel yang dikongsi di Facebook, Ahli Parlimen Pasir Mas itu dipercayai menyindir Perdana Menteri.
“Pakcik ni dulu baik orangnya. Sempat lagi nak remove pautan ni ye,” tulisnya.
Ahmad Fadhli membuat sindiran seperti itu selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan lawatan rasminya ke lima buah negara minggu lalu dibiayai syarikat swasta yang turut mengikuti program tersebut.
Namun berdasarkan pautan disertakan, artikel itu sebenarnya menyatakan mengenai lawatan penjawat awam ke luar negara berkaitan perolehan kerajaan yang tidak boleh lagi dibiayai syarikat swasta.
Ia bukan mengenai lawatan kerja ke luar negara mahupun lawatan dalam misi mencari pelaburan.
Pada Disember 2022 selepas memegang tampuk pemerintahan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat ketetapan bahawa pembiayaan lawatan penjawat awam ke luar negara berkaitan perolehan kerajaan tidak boleh lagi dibiayai syarikat swasta, sebaliknya dibiayai sepenuhnya melalui obligasi kontrak.
Antara tugasan luar negara yang disenaraikan termasuk pemeriksaan sebelum penerimaan (PDI), ujian penilaian kilang (UPK), laporan pemantauan projek (PMR), mesyuarat pelaporan eksekutif (ERM), ujian penerimaan akhir (FAT),Transfer of Title (TOT); dan latihan.
“Tugasan tersebut mestilah untuk tujuan mengesahkan status pembuatan produk, pemantauan dan perbincangan isu-isu berkaitan projek atau produk tersebut antara agensi dan kontraktor,” kata Perbendaharaan dalam pekeliling tersebut.
Tindakan Ahmad Fadhli yang hanya membaca tajuk berita dengan tidak memahami pekeliling dibuat kerajaan, mengundang kecaman terhadapnya.
Pengguna media sosial mengkritik pemimpin Pas itu dengan mempersoal tahap pendidikan beliau.
“Apa agaknya level of education you ya? Saya baca pautan itu dan sepenuhnya memahami tujuan dan perbezaannya. Kos lawatan untuk kerja perolehan vs kos lawatan kerja,” kata pengguna FB.
“Jangan risau YB pautan tu tak dibuang seperti pautan harakah sedia error 404,” balas yang lain.
Manakala di X seorang pengguna berkata, “tak bijak Fadhli letak link. Kan orang dah baca.
“Bila baca, baru tahu ditarik tu adalah untuk kerja perolehan, contoh MINDEF beli senapang, nak pergi tengok produk sebelum penghantaran, kos lawatan kena masuk dalam kontrak.
“Bukan lawatan kerja atau misi pelaburan. Bikin kantoi lah,” kata Saiful.