TANPA TAMBAH KAWASAN BARU PUN KERAJAAN PERPADUAN MASIH BOLEH MENANG PRU AKAN DATANG

 

Satu isu yang hebat diperkatakan berikutan keputusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menarik keluar Muda daripada menyokong kerajaan perpaduan, seterusnya menyebabkan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim hilang majoriti dua pertiga ialah ia kononnya telah berjaya menghalang cubaan menambah kawasan pilihanraya.

Diperkatakan, pertambahan kawasan pilihan raya baru itu, diheboh-hebohkan sebanyak 78 jumlahnya, di mana semuanya adalah di kawasan bandar yang berpotensi untuk DAP menandinginya.

Dalam erti kata lain, jika pertambahan kawasan itu berjaya dilakukan melalui kedudukan majoriti dua pertiga yang dimiliki kerajaan, bermakna selepas ini DAPlah yang akan menjadi parti paling berkuasa, menjadikan Anwar sekadar hanya boneka, bahkan ditakut-takutkan mungkin parti itu menuntut jawatan Perdana Menteri di masa akan datang.

Maka itu, apabila Syed Saddiq menarik sokongan dan kerajaan hilang majoriti dua pertiga, lalu cubaan menambah kawasan tidak mungkin lagi menjadi kenyataan, Ahli Parlimen Muar itu dianggap telah melakukan pahala yang sangat besar kepada kepentingan Melayu dan Islam di negara ini.

Dahsyat sekali cerita rekaan begini.

Melihat bagaimana begitu banyak cerita tentang cubaan mahu menambah kawasan pilihan raya ini diperkatakan, termasuk oleh mereka yang berkedudukan dan mempunyai gelaran, ini adalah petanda paling jelas bagaimana masyarakat kita sebenarnya telah rosak di mana mereka begitu mudah mempercayai khabar angin, maklumat tidak benar dan kata-kata fitnah.

Mereka ingat Anwar Ibrahim sudah “gila” agaknya mahu menambah kawasan pilihan raya sesuka hati dan memberi kelebihan kepada DAP semata-mata hanya ingin kekal berkuasa?

Apakah mereka tidak melihat bahawa Anwar, dalam banyak rentetan perjuangannya, memiliki jiwa Melayu dan Islam yang lebih tinggi berbanding sebahagian pemimpin dalam blok pembangkang sendiri?

Jadi, di mana logiknya ada cubaan mahu menambah kawasan pilihan raya Parlimen sebanyak 78 lagi menjadikan jumlah kesemuanya 300 sebagaimana diperkatakan itu?

Anwar sebagai seorang “fighter” tidak mungkin memilih jalan sebegitu mudah untuk mengekalkan kerajaan perpaduan yang dipimpinnya ini bagi menghadapi PRU16 akan datang.

Beliau adalah seorang yang terbuka untuk berlawan di padang yang terbuka, bukan berlawan dengan mengikat kaki, tangan serta menutup muka lawannya.

Sebab itu, tidak masuk akal untuk beliau tergamak menambah kawasan pilihan raya, bahkan ia tidak pernah dirancang atau diperkatakan, baik dalam kerajaan atau dalam parti-parti yang membentuk kerajaan.

Pertambahan kawasan pilihan raya, selain memang hanya boleh dilakukan dengan undi majoriti dua pertiga, ia mestilah juga dilakukan dengan asas yang jelas iaitu berikutan pertambahan penduduk dan pembukaan penempatan-penempatan baru dengan tidak mengabaikan kepentingan masa depan negara.

Lagi pun, kalau benar Anwar memang ada merancang untuk menambah kawasan pilihan raya sebelum tibanya PRU16 akan datang seperti diperkatakan itu, beliau pasti menjaga dan mengepung 148 Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan sejak awal lagi dengan memberi mereka jawatan, kedudukan dan kontrak-kontrak lumayan.

Apakah Anwar ada melakukan perkara begitu sejak sembilan bulan lalu?

Hakikatnya, Anwar dan parti-parti dalam kerajaan perpaduan sekarang masih boleh dan berupaya untuk menang dan kekal berkuasa lagi selepas PRU16 akan datang berdasarkan penerimaan rakyat yang semakin baik ketika ini.

Apa yang harus dilakukan ialah dengan terus menambah baik program untuk rakyat, memastikan hidup rakyat tambah selesa, memperbaiki lagi komunikasi atau penyampaian maklumat ke akar umbi serta menambahkan-akrabkan lagi perpaduan sesama parti dalam kerajaan.

Berdasarkan apa yang berlaku setakat ini dan ada masa sekitar empat tahun lagi sebelum ketibaan PRU16, adalah diyakini lebih banyak penambahbaikan mampu dilakukan.

Kalau mahu dihitung, begitu banyak sebenarnya benda-benda baik, pembaharuan atau bantuan kepada rakyat telah diperkenalkan oleh beliau, cuma banyak kebaikan itu terlindung kerana ditenggelami oleh timbunan sampah fitnah dan berita palsu yang bertebaran.

Mereka yang berjiwa pembangkang dan bercop walaun, apa pun kebaikan yang dilakukan kerajaan, tetaplah dianggap sesuatu yang tidak bermakna.

Tapi, jika pemimpin mereka melakukan kejahatan, misalnya fitnah terhadap Tabung Haji, mengkafir, mengharam atau memonyetkan musuh, termasuk menyebarkan kepalsuan berkenaan 78 kawasan pilihan raya baru mahu diwujudkan, ia tetap dilihat sebagai perbuatan yang wajib diberi sanjungan, seterusnya dihebahkan lagi dengan meluas.

Inilah sebenarnya masalah besar dalam negara kita. – ShahbudinHusin 11/09/2023.




No comments: