ISHAM JALIL MEMANG PATUT DIPECAT DARIPADA UMNO



Tidak pasti sejauh mana benarnya Isham Jalil, Ahli MT UMNO bakal dipecat dalam masa terdekat ini.


Sejauh ini, ia hanya sekadar dakwaan Isham berdasarkan cakap dengarnya semata-mata.


Dalam catatan di media sosialnya, Isham dipetik sebagai berkata, “Saya dengar minggu ini ada beberapa lagi ahli UMNO akan dipecat dalam mesyuarat nanti. Ada ura-ura kata nama saya pun mungkin tersenarai.”


Berdasarkan catatannya itu, segala kemungkinan bellau dipecat daripada UMNO itu tidak lebih hanya suatu andaiannya saja.


Begitu pun, sebagai Ahli MT UMNO, tindakan beliau menyanggah keputusan parti berkenaan hubungan dengan PH yang ada DAP di dalamnya, adalah suatu keterlanjuran yang serius.


Isham sepatutnya membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat MT UMNO.


Dalam hal ini, tidak diketahui sama ada beliau pernah membangkitkannya atau pun tidak dalam mesyuarat MT UMNO.


Kiranya beliau pernah membangkitkannya dan ia ditolak secara majoriti oleh MT UMNO, beliau perlu akur dengan keputusan tersebut kerana itulah hukum demokrasi dalam berorganisasi di mana keputusan majoriti hendaklah dihormati serta diakuri.


Jika terus tidak setuju juga, adalah tidak wajar terus menceceh secara terbuka.


Pilihan seterusnya jika tidak setuju dengan keputusan majoriti ialah meletak jawatan sebagai Ahli MT.


Pun begitu, jika Isham tidak pernah membangkitkan isu hubungan UMNO dengan PH, khususnya dengan DAP di dalam mesyuarat MT parti, sebaliknya hanya berani bercakap di luar melalui saluran media sosialnya sendiri, ini bermakna beliau memang secara sengaja mengundang surat pemecatan hadir ke pintu rumahnya.


Lagi pula, keputusan UMNO bekerjasama dengan PH telah lama dibuat iaitu pada November 2022, sebaik saja berakhirnya PRU15 lalu.


Apakah ketika itu Isham ada membuat bantahan?


Bukankah waktu itu beliau merupakan Ketua Penegangan UMNO?


Kenapa tidak letak jawatan dalam jawatan lantikan Presiden itu jika tidak setuju dengan hala tuju baru UMNO sejak awal lagi?


Oleh kerana Isham turut bertanding menawarkan diri untuk mengisi salah satu kerusi MT dalam pemilihan UMNO kemudiannya ialtu pada Mac 2023, pemafahaman paling mudah ialah beliau dianggap bersetuju dengan hala tuju UMNO ketika itu yang sudah pun menjalin kerjasama dengan PH.


Soal pokoknya di sini, kenapa baru sekarang beliau mahu bersuara menyanggah?


Apakah Isham ada terkecil hati kerana UMNO tidak memilihnya sebagai calon dalam PRN negeri Selangor baru-baru ini?


Dalam berparti atau berorganisasi, bukan tidak boleh bersuara, tetapi selagi saluran rasmi untuk beliau berbuat demikian masih terbuka, saluran itulah yang patut digunakan.


Tak tahulah, mungkin Isham sengaja mengenepikan saluran rasmi itu, sebaliknya memilih saluran terbuka agar beliau boleh dipecat oleh UMMO.


Tak mustahil juga tindakannya mendedahkan berlenaan cakap dengar pemecatannya itu dengan tujuan agar beliau lebih cepat diambil tindakan.


Jika begitu, beliau memang patut dipecat dan Zahid Hamidi tidak harus berfikir dua kali lagi.


Lagi disimpan, entah apa-apa lagi onarnya selepas ini, sedangkan UMNO perlu bersatu hati untuk berdepan musuh politik utamanya, Bersatu dan Pas dalam banyak lagi cabaran perjuangan yang lebih getir di masa depan. – ShahbudinHusin 12/09/2023.


https://shahbudindotcom.net/#google_vignette



No comments: