JADIKAN SARAWAK JELAPANG PADI NEGARA KEDUA – ABUN SUI


 Kekurangan beras putih tempatan yang dialami negara pada ketika ini memerlukan pelan jangka panjang pertanian melibatkan penanaman padi yang boleh menjadikan tahap sara diri beras (SSL) negara pada tahap 65% ketika ini ditingkatkan kepada 100% pada masa hadapan.

Bagi tujuan itu, Senator Abun Sui Anyit dalam perbahasan di Dewan Negara kelmarin telah mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi Negara kedua memandangkan wujud muka bumi di wilayah berkenaan yang berpaya serta tidak sesuai untuk tanaman sawit atau getah.

“Belajar daripada pengalaman lampau, mungkin kita boleh bangkit dan menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi Negara selain daripada Kedah atas dasar kawasan tanahnya yang luas untuk mengelak keadaan seperti sekarang di mana beras putih tempatan sangat kurang di pasaran.

“Untuk itu saya cadangkan Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) atau agensi berkaitan penanaman padi yang pakar melebarkan sayap ke Sarawak bagi memenuhi keperluan ini.

“Saya cadangkan kawasan kawasan tanah yang luas di Hulu Rajang dan Bintulu dijadikan hub pengeluaran beras, sama ada beras padi huma atau padi sawah di negara ini. Dengan kerjasama semua pihak dan tekad politik kerajaan, saya amat yakin ianya boleh dilaksanakan,” katanya.

Abun Sui turut menyentuh isu keseimbangan pembangunan antara Semenajung dan wilayah Malaysia Timur.

Katanya, pembangunan tanah adat (NCR) berdasarkan pendekatan pembangunan tanah secara bersepadu perlu diperkukuh melalui kerjasama antara agensi Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta.

“Pemberian geran tanah memang penting untuk membolehkan rakyat bumiputera Sarawak menikmati program-program kerajaan yang mensyaratkan adanya pemilikan geran tanah untuk memohon sesuatu program

“Contohnya Program bantuan bina rumah bernilai sehingga RM60,000 di atas tanah sendiri atau tanah ahli keluarga oleh KPKT. Tanpa geran tanah, mustahil rakyat berjaya dalam permohonan mereka untuk menikmati program ini,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyentuh isu pembinaan jalan raya yang amat ditunggu tunggu penduduk kawasan pedalaman.

“Saya berharap sangat pembangunan di pedalaman seperti menyediakan jalan raya persekutuan yang menghubungi Bintulu (Malaysia) dan Nusantara (Indonesia) yang melalui Daerah Belaga, DUN Murun dan DUN Belaga dalam Parlimen Hulu Rajang

“Saya menyokong permohonan wakil rakyat kawasan Tuan Kennedy Chukpai, Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Sarawak yang selari dengan permohonan saya dalam Dewan Negara yang mulia ini mencadangkan jalan baru melalui bekas jalan balak yang tidak aktif

“Jalan perlu dinaiktaraf dan dijadikan Jalan Persekutuan iaitu Borneo Spine Road to Immigration, Customs, Quarantine and Security (ICQS)/Pos Lintas Batas Negara (PLBN) iaitu jalan baru ke Long Nawang, Kalimantan melalui Bintulu – Sungai Asap – Bakun – Murum Linau – Long Busang – Long Unai – ICQS Tapak Megah – PLBN Long Nawang yang terus dihubungkan ke Nusantara, Indonesia,” katanya.

Selain itu, Abun Sui membawa isu menaiktaraf jalan bekas laluan balak di kawasan N.66 Murum (P.216 Hulu Rajang) yang merangkumi Tubau – Jelalong (25 rumah panjang), Ulu Sungai Belaga (4 rumah panjang), Long Urun (15 rumah panjang), Metalun (4 rumah panjang), Tegulang (7 rumah panjang), Sungai Linau (5 rumah panjang) dan Sungai Asap (15 rumah panjang).



No comments: