Oleh: Abdullah Zaid
Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan wajib mengekalkan kemenangan 36
kerusi yang dipertanding dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya
Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Ketua Angkatan Wanita Amanah (AWAN) negeri Norwani Ahmat berkata,
tekad yang bersandarkan prestasi dan khidmat yang terbaik diberi kepada rakyat
sejak 2018 itu perlu perlu dipertahankan dalam PRN nanti.
"Kerusi yang disandang Kerajaan Perpaduan wajib dipertahankan
dan kita tidak mahu gugur mana-mana kerusi (DUN)," katanya ketika ditemui
Suara Keadilan.
Beliau yang juga Ketua Amanah Rembau itu berkata demikian apabila
ditanya mengenai persiapan jentera blok PH-BN menjelang Pilihan Raya Negeri.
Ketua Amanah Negeri Sembilan Norwani Ahmat (kanan sekali), bersama
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu
dan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat Noraini Nordin serta pemimpin
wanita negeri.
Mengulas lanjut, Norwani yang juga calon bagi DUN Paroi juga
menyeru agar agenda Kerajaan MADANI disokong dan diterjemahkan dalam kertas
undi PRN melibatkan enam buah negeri.
"Kita lihat agenda Malaysia MADANI amat menekankan perpaduan
agar kemakmuran negara dapat dikecapi.
"Oleh itu, kita perlukan selari dengan kerajaan pusat agar
kesepakatan membawa berkat itu dapat kita terjemahkan.
"Ketepikan soal perbezaan, sebaliknya fikirkan masalah yang
lebih besar untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara," ujarnya lagi.
Selain Norwani Ahmat, Pakatan Harapan Negeri Sembilan menawarkan
18 calon antara penyadang dan calon Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harin,
manakala, Barisan Nasional menamakan 17 calon bagi PRN negeri itu.
Untuk rekod, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke 14 kesemua
kerusi dimenangi oleh Pakatan Harapan dan Barisan Nasional menyebabkan DUN
Negeri Sembilan tiada pembangkang apabila Kerajaan Perpaduan dibentuk pada
November 2022.
Namun perkembangan terkini, saingan sengit mula ditunjukkan oleh
PN di kerusi majoriti 80% Melayu dengan membawa agenda perkauman dan agama
sempit.