MB Sanusi umum projek, peruntukan kerajaan pusat, 'kalih bagi sama'



 

Rakyat Kedah diminta memikirkan pihak manakah paling layak memerintah dan dilantik sebagai kerajaan mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.


Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Menteri Besar Datuk Seri Sanusi Md Nor boleh mengumumkan apa sahaja yang beliau mahu buat sebagai manifesto negeri tetapi kewangan datang daripada Kerajaan Persekutuan kerana Kedah tidak mempunyai kewangan mencukupi untuk melaksanakan projek.


"Kita tunggu PN, dengar pengumuman (manifesto) Sanusi apa lagi dia nak buat? Pertama, dia nak teruskan Lapangan Terbang Kulim (seperti dinyatakan Sanusi sebelum ini). Sahabat saya Rafizi dah jawab masa dialog Rancangan Malaysia ke 12 bersama Sanusi


"Projek ini (KXP) projek swasta, depa tak ada duit. Kalau ada idea duit tak ada maka projek itu tak ada bank nak biaya.


"Bank akan biaya kalau kerajaan bagi kelulusan. Dengan kelulusan kerajaan, syarikat ini pergi ke institusi kewangan. Projek bila kerajaan dah lulus, menjadikan projek boleh dapat pinjaman. Tetapi lepas lapangan terbang siap, kargo cukup atau tak cukup bukan masalah syarikat pembina.


"Kedua, dia nak buat Zon Ekonomi Sempadan. Saya nak habaq Sanusi soal pembangunan sempadan melibatkan aspek keselamatan. Keselamatan bukan tanggungjawab Kerajaan Negeri tetapi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan berdasarkan Perlembagaan. Biar tahu tanggungjawab kita. Saya adalah Pengerusi Keselamatan Sempadan Negara.


"Kalau nak tawarkan, bukan sahaja soal ekonomi tetapi soal keselamatan sempadan negara tak boleh bocor (perlu diambil kira).


"Tawaran ini boleh (lebih mudah) berlaku dengan cara rakyat Kedah tukar 'kalih bagi sama', negeri dan Persekutuan sama kerajaan," katanya dalam majlis memperkenalkan calon dan pelancaran manifesto malam tadi.


Mengenai projek Loji Rawatan Air (LRA) pula, Saifuddin berkata, Sanusi yang telah gagal menyiapkan projek itu seperti dijanjikan sekali lagi berjanji untuk meneruskan projek tersebut, tetapi peruntukan pembinaan sebenarnya dikawal oleh kerajaan pusat.


"Saya dilantik oleh Kabinet sebagai pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah. Tugas saya memantau semua projek Persekutuan di negeri Kedah yang jumlahnya RM1.6 bilion termasuk memantau 5 projek LRA supaya projek ini siap. Sanusi boleh umum tetapi duit tak ada.


"Yang membolehkan loji rawatan air ini siap adalah jaminan peruntukan oleh Kerajaan Persekutuan. Lagi sekali rakyat negeri Kedah kena kalih bagi sama, baru projek LRA kita tambah dan pastikan peruntukan tiap tahun cukup," katanya.


Begitu juga dengan projek tanam padi 5 musim untuk 2 tahun, kata Saifuddin, peruntukan tidak datang daripada Kerajaan Negeri Kedah tetapi daripada kerajaan pusat.


"Sanusi umum nak projek tanam pagi 5 kali dalam 2 tahun. Dia boleh umum tetapi 2 minggu lepas PM turun di kawasan MADA untuk umum RM3 bilion menyelenggara tali air untuk mudahkan tanam padi 5 musim. Itu bezanya. Sanusi umum, kita salur peruntukan untuk buat. Itu beza.


"Sanusi nak teruskan Kulim Hi Tech Park. Taman teknologi ini tugasnya satu saja, siap tanah dan tapak kemudian bawa pelaburan berteknologi tinggi. Persiapan itu semuanya ditanggung oleh dana Kerajaan Persekutuan kepada negeri Kedah. Ini fakta tak berubah. Dia boleh umum nak tambah fasa pembangunan tetapi duit dari Persekutuan," katanya lagi.


Justeru itu, kata Saifuddin, slogan "kalih bagi sama" perlu diamalkan pengundi dalam PRN Ogos ini agar Kerajaan Negeri dan Persekutuan dari parti yang sama.


No comments: