BERBANDING AZAM BAKI, ANWAR LEBIH PATUT DIKALUNGKAN UCAPAN TAHNIAH


Sebagaimana dilaporkan media, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki disambung khidmatnya setahun lagi untuk mengetuai agensi pencegahan rasuah itu.

Beliau yang sepatutnya bersara wajib pada 12 Mei ini kerana mencapai usia 60 tahun, disambung setahun lagi khidmatnya bermula tarikh yang sama.

Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dalam satu kenyataan berkata, Yang Di Pertuan Agong telah memperkenankan pelanjutan tempoh perkhidmatan Azam itu.

Ini bererti, perkenan Agong itu diberikan setelah lanjutan khidmatnya dicadangkan oleh kerajaan atau secara spesifeknya oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim selaku ketua kerajaan.

Sementara para penyokong PH rata-ratanya terdiam dan ada sebahagian pula geleng kepala dengan perlanjutan khidmat Azam itu kerana beliau merupakan antara subjek kecaman gabungan itu sebelum PRU15 lalu, PN dan Pas pula antara yang paling awal memberikan ucapan tahniah.

Yalah…mana PN tidak gembira dan mengucapkan tahniah kerana selepas Peguam Negara, Idrus Harun yang merupakan lantikan PM8, Mahiaddin Md Yasin sebelum ini juga disambung khidmatnya selama enam bulan lagi, kini giliran Azam pula menerima diberikan khabar gembira.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, dengan perlanjutan khidmat itu bererti isu saham dan dakwaan mengumpul kekayaan yang dikaitkan dengan Azam sebelum ini ternyata tidak berasas.

“Malah kami sentiasa yakin dengan penafian Azam berhubung pelbagai dakwaan yang dikaitkan dengannya,”tambah Takiyuddin lagi.

Sebuah NGO pro UMNO, tetapi kini juga pro kerajaan iaitu Majlis Perundingan Melayu melalui jurucakapnya Shahbudin Embun, turut mengucapkan tahniah kepada Azam.

Kata beliau, perlanjutan itu membuktikan SPRM di bawah kepimpinan Azam telah memberi keyakinan kepada kerajaan dan rakyat terhadap usahanya selama ini dalam memerangi rasuah tanpa rasa takut.

Adalah dijangka selepas ini lebih banyak ucapan tahniah diterima Azam berikutan perlanjutan khidmatnya itu.

Yang nyata di sini, walaupun menjadi subjek kecaman PH sejak sekian lama, beliau nampaknya bijak menyesuaikan diri apabila terbentuk kerajaan baru.

Selain Anwar sendiri ada mengeluarkan beberapa kenyataan mengenai pemilikan saham Azam sebelum ini, antaranya mahu sebuah badan bebas menyiasat perkara itu, manakala Rafizi Ramli berjanji untuk mencari KP SPRM jika PH berjaya menjadi kerajaan dan ada juga desakan beliau ditangkap, semua itu kini nampaknya seperti tiada apa-apa pernah yang berbekas di hati bersama kuasa yang sudah diperolehi.

Anwar dan PH seolah-olah sudah boleh menerima Azam, malah diberi lanjutan khidmat selama setahun lagi, walaupun sudah patut bersara secara wajib.

Dalam hal ini, tanpa menafikan Azam memang wajar diberikan ucapan tahniah, yang lebih patut dikalungkan ucapan tahniah yang sebenar-benarnya ialah Anwar sendiri.

Tanpa cadangan Anwar kepada Agong, tentulah tidak mungkin Azam dapat disambung khidmatnya.

Kenapa Anwar masih mahu Azam terus berkhidmat mengetuai SPRM?

Apakah beliau tiada calon lain?

Di sinilah hebatnya Anwar, bukan saja Peguam Negara dan KP SPRM tidak ditukar atau ditamatkan khidmat serta-merta apabila kuasa ada dalam tangannya, pemegang-pemegang jawatan penting lain dalam kerajaan yang sepatutnya perlu ditukar untuk mempercepatkan proses reformasi sebagaimana kerap dilaungkan sebelum ini sepertinya tidak perlu bimbang apa-apa dengan kedudukan mereka.

Agaknya reformasi akan lebih cepat terlaksana dengan mengekalkan semua mereka itu.

Atas kehebatan luar biasa itu, maka janganlah kita lupa atau malu-malu untuk memberi sebesar-besar kalungan tahniah kepada Anwar.

Dulu ketika Peguam Negara disambung pun tiada ucapan tahniah kepada Anwar, janganlah ketika Azam ini pun senyap juga begitu saja.

Apa kata sebagai pendokong dan penyokong PH, mereka tampil beramai-ramai mulai sekarang memberi kalungan tahniah kepada Anwar? – ShahbudinHusin 11/05/2023.

https://shahbudindotcom.net/

 

No comments: