Penganalisis ekonomi sokong cagar KWSP untuk pinjaman bank




 

Langkah kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan wang caruman sebagai cagaran pinjaman peribadi dilihat wajar.

Penganalisis Ekonomi i-CATS Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor dari University College Kuching ketika mengulas langkah itu memberi pandangan kaedah tersebut akan memberi penyelesaian kewangan kepada pencarum tanpa menjejaskan caruman hari tua mereka.



Melalui langkah itu pencarum yang benar-benar memerlukan boleh memulakan atau meneruskan perniagaan, serta membayar hutang.



"Mereka dapat menunaikan setengah daripada akaun-akaun mereka yang berbentuk pinjaman dibayar balik semula melalui institusi bank.



"Jadi di sini kita lihat simpanan mereka tidak akan terjejas dan kita menyangkakan bahawa keperluan mereka inilah keperluan sementara. Mereka boleh membayar balik secara ansuran kepada pihak bank," katanya dipetik.



Mengulas lanjut hal berkenaan, Dr Shazali turut mengingatkan Bank Negara Malaysia (BNM) agar memastikan caj yang dikenakan oleh bank kepada pencarum tidak lebih daripada dividen yang diberi oleh KWSP supaya pencarum masih boleh menyimpan.



"Sebagai contoh, jika dividen itu 5.5 peratus, bank tidaklah boleh caj lebih dari 3 peratus. Mungkin 2.5 peratus setahun secara kadar rata, di sini masih ada berbaki sebanyak 3 peratus yang boleh dimasukkan pada akaun pencarum," katanya.



Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lalu menawarkan kaedah itu bagi mana-mana pencarum KWSP yang 'terdesak' untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit.



Dengan syarat kaedah diperketatkan, beliau turut menegaskan hanya individu tertentu sahaja akan diberi pertimbangan menggunakan caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan untuk mengelakkan wang hari tua pencarum itu dikeluarkan secara tidak sewenangnya.

 

No comments: