DR MASZLEE SEPATUTNYA PIMPIN GLC ATAU KETUAI UNIVERSITI, BUKAN DIBIARKAN KEMBALI KEPADA KARIER LAMA

 


Ketika awal penubuhan kerajaan perpaduan sebelum ini, Dr. Maszlee Malik pernah membayangkan beliau bakal diberikan sesuatu peranan dalam kerajaan.

Ini berikutan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim secara santai memintanya bersiap sedia yang ditafsirkan oleh beliau sebagai gambaran bakal dilantik ke sesuatu jawatan.

Rupanya ia hanyalah salah faham atau salah tanggapan semata-mata.

Iyalah…selepas kalah bertanding di Simpang Renggam dan diminta untuk bersiap-sedia, bukan oleh orang biasa yang bersidai di kaki lima, tetapi daripada mulut seorang Perdana Menteri, bukan saja Dr. Maszlee, siapa pun akan bertanggapan ia merupakan gambaran ada berita baik bakal diterima.

Agaknya, setelah begitu lama menanti dan menanti, namun masih tiada apa-apa khabar berita, Dr. Maszlee akhirnya memutuskan untuk kembali menjadi pensyarah di sebuah universiti swasta di Cyberjaya.

Menurutnya, beliau akan memberi syarahan topik terpilih dalam bidang kemanusiaan dan berkaitan pendidikan di universiti berkenaan.

Menjadi pensyarah, guru atau pendidik adalah kerja mula yang membawa banyak limpahan pahala, tetapi dalam kes Dr. Maszlee, kembalinya beliau menjadi pensyarah biasa adalah sebuah cerita duka sebenarnya.

Beliau sebelum ini adalah pensyarah di UIA sebelum berhenti untuk bertanding pada PRU14 di kerusi Parlimen Simpang Renggam, Johor.

Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pendidikan dan sempat berkhidmat selama lebih kurang 20 bulan sebelum diminta memulangkan jawatannya oleh Tun Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu.

Ertinya, Dr. Maszlee meletak jawatan sebagai pensyarah dulu adalah untuk menjadi ahli politik sepenuh masa dan pencapaian sehingga menjadi menteri boleh dikira membanggakan.

Kenapa sekarang, dalam usianya yang dikira masih muda, berjawatan Ahli MPP PKR di peringkat pusat dan tentunya masih bernafsu dalam dunia politik, beliau dibiarkan kembali bekerja menjadi pensyarah biasa?

Tidakkah kembalinya beliau kepada jawatan lama sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta adalah gambaran kerana tiada pilihan atau peranan lain sudi diberikan kepadanya?

Tidak bolehkah dalam keadaan partinya sendiri, PKR adalah tunjang kerajaan dan Anwar sebagai Perdana Menteri, Dr. Maszlee didorong dengan diberikan jawatan yang bersesuaian agar boleh kembali bertanding semula merampas kerusi Simpang Renggam pada PRU16 akan datang?

Ataukah pengenepian ini sebuah isyarat, atas nama kerajaan perpaduan, kerusi Simpang Renggam yang kini dimenangi UMNO, akan terus menjadi milik parti itu untuk ditandingi?

Dengan berpengalaman sebagai bekas menteri, pernah menjadi Ahli Parlimen dan masih sebagai ahli MPP parti di peringkat, Dr. Maszlee sepatutnya dilantik mengetuai GLC atau sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola mana-mana universiti sebagai pengiktirafan kepada kewibawan dan pengalamannya itu.

Bukankah banyak agensi dan GLC yang berkaitan pendidikan yang sesuai diterajui beliau?

Kenapa Anwar dan kerajaan mensia-siakan manusia berkualiti seperti Dr. Maszlee ini?

Kalau alasan kalah PRU15 sebagai sebab tidak diberikan jawatan, peliknya ada pula pemimpin lain yang kalah pilihan raya dan kalah juga pemilihan parti, namun dilantik pula sebagai menteri dan timbalan menteri?

Yang kalah pilihan raya dan tiada jawatan penting dalam parti, malah tidak pun bertanding, ada pula yang tiba-tiba dilantik mengetuai GLC atau diberikan jawatan Senator.

Istimewa sangatkah semua mereka itu berbanding Dr. Maszlee?

Di mata umum dan pada pandangan ahli parti, nasib yang menimpa Dr. Maszlee ini adalah tanda kegagalan – kalau pun bukan kebebalan – sebuah kerajaan yang memiliki kuasa melimpah ruah dalam tangan.

Akan timbul pertanyaan, macam mana kerajaan ini mahu diyakini dalam membela rakyat kalau pemimpin parti sendiri yang berkualiti pun disia-siakan dan tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya?

Yang lain-lain yang masih menunggu jawatan, apakah masih mahu menunggu lagi? – ShahbudinHusin 22/03/2023.



No comments: