AGAR DILIHAT BERBEZA DENGAN ZAHID HAMIDI, MAHIADDIN TIADA PILIHAN LAIN SELAIN HARUS UNDUR DIRI ATAU BERCUTI

 

Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin pagi tadi didakwa di mahkamah dengan empat pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan wang berjumlah RM232.5 juta serta dua pertuduhan penggubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dan diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin serta passport antarabangsanya dikehendaki diserahkan kepada mahkamah.

Isnin nanti beliau akan berdepan satu lagi pertuduhan di mahkamah Shah Alam, menjadikan jumlah tujuh semuanya.

Berdepan dengan semua pertuduhan tersebut, Mahiaddin bagaimanapun enggan melepaskan jawatannya secara serta-merta sebagai Presiden Bersatu.

Beliau sebaliknya mahu menyerahkan segala keputusan kepada Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) Bersatu untuk menentukan kedudukannya.

“Saya akan bawa kedudukan saya kepada MKT parti untuk mereka putuskan.

“Saya akur dengan apa saja ketetapan MKT yang akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat ini,” katanya lagi.

Kenapa Mahiaddin enggan melepaskan jawatannya serta-merta?

Bukankah beliau sebelum ini selalu mengecam Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi yang tidak melepaskan jawatannya setelah didakwa di mahkamah?

Lebih daripada itu, ketika Wan Saiful Wan Jan didakwa di mahkamah baru-baru ini, Mahiaddin sendiri setuju menerima perletakan jawatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu sebagai Ketua Penerangan Bersatu.

Bahkan beliau berkata, perletakan jawatan itu bererti Bersatu telah menetapkan satu standard supaya apabila seseorang itu dituduh di mahkamah ia tidak menimbulkan salah pandangan terhadap parti.

Kenapa sekarang Mahiaddin sendiri enggan melepaskan jawatannya secara sukarela dan masih mahu menyerahkan kepada MKT?

Melihat kecenderungan beberapa pemimpin Bersatu yang gila-gila mempertahankan pertuduhan terhadapnya sekarang ini, kebarangkalian untuk MKT Bersatu setuju membuat keputusan memintanya berundur atau bercuti ternampak amat tipis sekarang.

Mungkin sekali Bersatu akan membuat keputusan sebulat suara agar Mahiaddin terus kekal menerajui Bersatu.

Sekiranya terus dikekalkan menerajui Bersatu, tidakkah ini bermakna mereka cuba meletakkan parti sebagai perisai diri kepada Mahiaddin. selain tidak berapa kisah dengan wujudnya salah pandangan di kalangan rakyat?

Sedemikian, apa beza Mahiaddin dengan Zahid Hamidi?

Mungkin ramai yang berhujah bahawa sandaran tidak perlu berundur atau bercuti itu adalah kerana pertuduhan ternadapnya berupa pendakwaan terpilih dan bermotif politik oleh parti yang menguasai kerajaan bagi tujuan untuk melemahkan Bersatu.

Jika begitu, sekali lagi, apa bezanya dengan Zahid Hamidi yang juga menggunakan alasan yang sama sebelum ini?

Pokoknya, jika Bersatu telah menetapkan satu standard yang berbeza dengan lain-lain parti, tiada langkah terpuji lain bagi Mahiaddin selepas didakwa ini melainkan mesti secara sukarela mengambil pendirian berundur diri atau bercuti daripada menerajui Bersatu.

Bersatu mesti diterajui oleh pemimpin lain yang bersih dan tiada kes mahkamah.

Kalau tidak, bagaimana Bersatu mahu dilihat lebih baik di mata rakyat, sambil diiringi cita-cita untuk menjadi pengganti kepada UMNO kalau perangai Mahiaddin lebih kurang sama saja dengan Zahid Hamidi? – ShahbudinHusin 10/03/2023.



No comments: