PH Sabah nafi sokong usaha singkir Hajiji



Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor (tengah) bersama ADUN PH pada
 mesyuarat pada November di mana mereka bersetuju untuk
 menyokong beliau sehingga akhir penggalnya.

PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Sabah menafikan laporan berita yang mendakwa ia menarik diri daripada cubaan yang dikatakan gagal untuk menggulingkan Hajiji Noor sebagai ketua menteri pada saat akhir.

Laporan itu semalam memetik sumber sebagai berkata, tujuh ADUN PH Sabah pada mulanya bersetuju dengan rancangan dikatakan untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Hajiji, tetapi kemudian memutuskan untuk menyokong ketua menteri itu.

Sumber itu turut mendakwa bahawa ketujuh-tujuh ADUN tersebut kini menawarkan sokongan kepada Hajiji sebagai pertukaran untuk jawatan dalam Jemaah Menteri negeri yang dirombak.

Dalam kenyataan bersama malam tadi, tujuh ADUN PH Sabah berkata, dakwaan sedemikian tidak benar, berunsur fitnah dan bertujuan memburukkan gabungan itu..

“PH Sabah tidak pernah bersetuju atau memberikan sokongan kepada mana-mana pihak untuk melaksanakan gerakan menubuhkan kerajaan pintu belakang baharu.

“(PH Sabah) mengutamakan kestabilan politik, ekonomi, dan kebajikan rakyat Sabah, bukannya jawatan dan kuasa,” kata mereka.

Tujuh ADUN terbabit terdiri daripada Christina Liew (PKR), Frankie Poon (DAP), Ewon Benedick (Upko), Jannie Lasimbang (DAP), Phoong Jin Zhe (DAP), Tan Lee Fatt (DAP) dan Peto Galim (PKR).

Pada Khamis, ketujuh-tujuh mereka mengesahkan sokongan kepada Hajiji di tengah-tengah khabar angin mengenai cubaan untuk menggulingkan pentadbirannya. Dua bulan lepas, mereka bertujuh bersetuju untuk menyokong Hajiji sehingga tamat penggal pentadbirannya pada 2025.

Malam tadi, Barisan Nasional (BN) Sabah dan Umno menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji atas alasan beliau melanggar pakatan dengan BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Perikatan Nasional (PN) selepas PRN pada September 2020.

Pengerusi BN negeri Bung Moktar Radin berkata, keputusan BN-Umno itu menyebabkan Hajiji kehilangan majoriti di DUN, dan “tidak layak” lagi menjadi ketua menteri.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Masidi Manjun menegaskan bahawa gabungan itu terus memegang majoriti kerana enam wakil rakyat Umno Sabah tidak bersetuju dengan keputusan Bung untuk menarik balik sokongan kepada Hajiji.

GRS yang diketuai oleh Hajiji mempunyai 29 kerusi di DUN. Untuk membentuk kerajaan baharu, majoriti mudah 40 kerusi dalam DUN 79 anggota diperlukan.


No comments: