PEMILIHAN UMNO - GENERASI MUDA PASCA MERDEKA LAWAN GENERASI TUA PRA MERDEKA



Beberapa sumber dan maklumat yang diperolehi setakat ini hampir mengesahkan Hishammuddin Hussein adalah calon yang akan mencabar Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti yang dijangka pada Mac depan.


Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, calon yang bakal mencabar Mohamad Hasan ialah bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau KJ.


Sebelum ini Tok Mat dan KJ adalah gandingan Ketua dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, tetapi berikutan kerusi Parlimen Rembau diambil alih oleh Tok Mat pada PRU15 lalu dan KJ kemudian tercampak ke Sungai Buloh, menantu Tun Abdullah Badawi itu akhirnya memindahkan terus keahlian UMNOnya ke Sungai Buloh.


Dengan Hishammuddin akan bergandingan dengan KJ untuk melawan Zahid Hamidi serta Tok Mat, ini bermakna pertandingan yang berlaku nanti ialah pertembungan antara dua generasi yang berbeza iaitu pemimpin pasca merdeka dan pra merdeka.


Hishammuddin dan KJ adalah pemimpin yang lahir selepas merdeka, manakala Zahid Hamidi dan Tok Mat ialah generasi kelahiran pra atau sebelum negara menikmati kemerdekaan pada 1957.


Dengan demikian, sudah tentu pertandingan nanti jadi menarik kerana inilah pertama kali pertembungan dua generasi sedemikian berlaku dalam UMNO.


Tambahan lagi, dunia dewasa ini adalah dunia orang muda dan desakan perlunya UMNO melakukan proses peremajaan sudah lama kedengaran, disertai pula dengan remaja berusia 18 tahun pun sudah boleh mengundi, kemunculan gandingan Hishammuddin dan KJ seolah-olah ingin membawa nafas serta harapan baru untuk parti mendepani PRU16 pada tahun 2027 akan datang.


Sediakah perwakilan UMNO yang berjumlah hampir 160,000 yang juga lebih ramai di antaranya adalah kelahiran pasca merdeka memilih pemimpin generasi mereka sendiri mengetuai UMNO atau mereka masih berharap orang tua pra merdeka memimpin parti itu?


Selain pertandingan itu nanti jadi menarik kerana pertembungan dua generasi tersebut, pemilihan akan datang ini juga adalah umpama “titian siratulmustakim” bagi masa depan UMNO.


Dengan pretasi kerusi dimenangi UMNO menunjukkan prestasi kian menurun – 88 kerusi pada PRU13, 54 kerusi pada PRU14 dan 26 kerusi pada PRU15 – siapa yang akan menerajui parti selepas ini adalah sangat penting demi kelangsungan masa depannya.


Ini kerana merekalah nanti yang akan mengetuai UMNO dan BN untuk menghadapi PRU16 yang akan diadakan lima tahun daripada sekarang.


Apakah jika pemimpin daripada generasi pra merdeka terus memimpin UMNO, sokongan rakyat masih boleh diperolehi?


Atau UMNO yang diterajui pemimpin generasi pasca merdeka lebih sesuai dan mampu menarik sokongan rakyat dengan lebih baik lagi?


Pokoknya, bagi pemimpin UMNO yang pro perubahan, keprihatinan mereka sekarang ialah apakah jumlah kerusi yang mampu dimenangi UMNO pada PRU16 nanti melebihi 26 atau terus menjunam lagi?


Berkenaan gandingan Hishammudin dan KJ yang bakal melakukan cabaran, difahamkan beberapa perjumpaan kecil untuk mengumpul sokongan telah mula diadakan dan didapati respon terhadapnya begitu positif sekali.


Walau masih tidak dapat menjangka dengan pasti, sebahagian yang sempat dihubungi melihat harapan ke arah perubahan itu amat cerah.


Yang penting, kesedaran tentang masa depan parti hendaklah terus dipertingkatkan kerana kepimpinan sedia ada terbukti telah gagal menarik sokongan rakyat bila mana kerusi kemenangan UMNO pada PRU15 hanya tidak sampai separuh daripada yang dimenangi pada PRU14 sebelumnya, kata seorang pemimpin bahagian yang belum sedia untuk ditulis namanya. – ShahbudinHusin 07/01/2023.