Komponen GRS sokong teguh Hajiji sebagai ketua menteri

 


Parti-parti komponen GRS berkata, keabsahan Hajiji Noor sebagai ketua menteri kekal utuh. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Parti-parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberikan “sokongan teguh” kepada Hajiji Noor sebagai ketua menteri di tengah-tengah ketidaktentuan politik yang sedang berlaku di negeri itu.

Dalam kenyataan bersama, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) berkata, keabsahan Hajiji sebagai ketua menteri kekal utuh apabila beliau terus mendapat sokongan majoriti DUN.“GRS hargai sokongan daripada ADUN lain untuk Hajiji kekal sebagai ketua menteri,” kata mereka.

“Menjadi tanggungjawab kami untuk menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRN lepas.

“Sebarang usul untuk membentuk kerajaan pintu belakang adalah satu tindakan mengkhianati mandat daripada rakyat dan patut ditolak.”

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PBS Maximus Ongkili, Presiden STAR Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Yong Teck Lee dan Presiden Usno Pandikar Amin Mulia.

Malam tadi, Barisan Nasional (BN) dan Umno Sabah menarik balik sokongan mereka kepada Hajiji atas alasan beliau melanggar pakatan dengan BN, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Perikatan Nasional (PN) selepas PRN pada September 2020.

Pengerusi BN negeri Bung Moktar Radin berkata, keputusan BN-Umno itu menyebabkan Hajiji kehilangan majoriti di DUN, dan “tidak layak” lagi menjadi ketua menteri.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Masidi Manjun menegaskan bahawa gabungan itu terus memegang majoriti kerana enam wakil rakyat Umno Sabah tidak bersetuju dengan keputusan Bung untuk menarik balik sokongan kepada Hajiji.

GRS yang diketuai oleh Hajiji mempunyai 29 kerusi di DUN. Untuk membentuk kerajaan baharu, majoriti mudah 40 kerusi diperlukan daripada keseluruhan 79 kerusi DUN.

No comments: