KENAPA IANYA PERLU - KERANA SOSMA TETAP AKAN MEMBICARAKAN PESALAH DI MAHKAMAH DAN BUKAN SEPERTI ISA YANG TERUS TANGKAP DAN KURUNG

 

SAIFUDDIN TAK BERGANJAK, SOSMA TETAP TIDAK DISEMAK SEMULA



Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan pendiriannya mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012 atau Sosma.

Beliau berkata, peruntukan itu akan membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang, terutama membabitkan tangkapan ahli sindiket terbabit dalam jumlah yang ramai.

“Bagi menguruskan jumlah besar dan jenayah berat, hal ini memerlukan undang-undang yang tanpa mengorbankan prinsip keadilan sejagat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Saifuddin turut mengakui pelaksanaan Sosma adalah baik, berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat kerana ia membenarkan prosedur perundangan dibuat susulan penangkapan suspek kes terbabit.

“Perkara penting untuk dijadikan ukuran adalah prinsip keadilan sejagat. Individu ditahan, dinyatakan pertuduhan ke atasnya, diadili di hadapan hakim dan diberi peluang mengambil peguam serta memfailkan rayuan bagi sabitan dan hukuman.

“Di sisi lain ketika berdepan jenayah terancang, kalau berlaku tangkapan antara 50 hingga lebih 100 orang misalnya. Kalau ikut saluran biasa, ditahan 24 jam, dibawa ke mahkamah dan dapat reman sehingga dua minggu,’ katanya.

Sementara itu, beliau turut mengakui berdepan pelbagai kritikan berhubung pendirian tersebut, termasuk daripada Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo yang memintanya mengkaji semula Sosma.

“Di peringkat awal, saya nyatakan mahu mencapai keseimbangan dan terbuka untuk menerima pandangan serta teguran, selain akan melaksanakan kewajipan mengikut keperluan dan bidang kuasa sebagai menteri.

“Debat di luar (mengenai Sosma) sudah berlaku sekian lama, selain kritikan terhadap perundangan, termasuk kenyataan mengenai pendirian terkini saya berbeza berbanding dulu.

“Ini negara demokrasi, kita kena biarkan ‘iklim’ ini terus bergerak dengan subur, selain saya sentiasa menghargai pandangan semua pihak,” katanya.

Dua hari lalu, Saifuddin memberi petunjuk akta itu tidak akan disemak semula dan menyatakan individu ditahan boleh mengambil khidmat peguam sekiranya dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, akta itu berbeza dengan ISA yang membenarkan penahanan tanpa bicara dan Ordinan Darurat yang membenarkan tempoh tahanan selama 60 hari.