KALAH TERUK PUN DOK RATIB DAP LAGI

 

Kerjasama PH-BN bagai ‘mimpi’, kata pemimpin Umno.



Gabungan antara Pakatan Harapan dan Barisan Nasional lebih disukai oleh rakyat Malaysia yang berpandangan sederhana, kata pemimpin Umno.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno berkata Barisan Nasional (BN) sukar bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kerjasama mungkin tidak akan berlaku walaupun ramai “rakyat Malaysia berpandangan sederhana” lebih menyukai hubungan itu, berbanding kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pemimpin Umno yang enggan dinamakan itu, berkata pentadbiran kerajaan PH-BN dilihat lebih sederhana, jika dibandingkan dengan PN yang didominasikan oleh PAS dan Bersatu.

“Apabila keputusan diketahui, saya menerima banyak mesej, rakyat mahu BN bekerjasama dengan PH, tapi saya sukar melihat bagaimana ia boleh berlaku.”

“Blok Borneo tidak akan bekerjasama dengan DAP, termasuk juga Umno, timbul kesulitan untuk bersama dengan DAP. Orang Melayu tidak menerimanya,” kata sumber itu.

Sumber berkenaan berkata, realitinya adalah Umno tidak pernah mengambil pengajaran daripada pilihan raya umum 2018.

“Kita kalah pada 2018 dan mengambil jalan singkat untuk berkuasa semula. Akhirnya, rakyat melihat kita pada pilihan raya ini dan rakyat menyimpulkan kita tidak benar-benar berubah.

“Kita tidak layak pun berada dalam kerajaan, dan kita perlu mendapatkan semula keyakinan dan sokongan rakyat. Tiada jalan singkat untuk itu. Umno, BN perlu berubah.”

Sumber berkata, beliau percaya Umno wajib tidak menyertai kerajaan walaupun parti itu memutuskan untuk memecah kebuntuan antara PN dan PH.

“Adalah lebih baik bagi kita mengadakan memorandum persefahaman dengan sesiapa sahaja yang kita bantu membentuk kerajaan, mungkin menjurus kepada PN.

“Namun, kita tidak patut memegang sebarang jawatan Kabinet dan perlu memainkan peranan sebagai parti pembangkang ketika menjalani proses pembaharuan,” kata sumber itu.

Umno akan memanggil mesyuarat membabitkan Biro Politik disusuli mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) hari ini susulan prestasi merudum pada pilihan raya kali ini.