Walau tidak pernah diungkapkan dengan kata-kata, mereka yang faham politik tentu sedar bahawa Najib Razak memang bercita-cita ingin kembali lagi sebagai Perdana Menteri.
Meski tampak mustahil untuk beliau memintas Ismail Sabri Yaakob yang telah dinamakan sebagai calon Perdana Menteri bagi BN menghadapi PRU15 akan datang, tambahan lagi berderet kes mahkamah melibatkan dirinya masih belum selesai di sebalik pendengaran rayuan akhir berkaitan SRC International ditetapkan 15 Ogos depan, paling mungkin fokus Najib memburu impiannya itu ialah pada PRU16..
Keaktifan Najib menonjolkan diri, disertai dengan ruang yang sentiasa dibuka oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi terhadap belas Perdana Menteri itu, adalah mudah difahami ia tidak lain merupakan laluan untuk beliau kembali ke puncak kuasa.
Jika Tun Mahathir Mohamad berjaya menjadi Perdana Menteri sebanyak dua kali melalui parti yang berbeza, Najib pastinya mahu mencipta sejarah yang sama, tetapi tidak lari daripada UMNO.
Antara sebab Najib setuju berdebat dengan Anwar ialah untuk menunjukkan dirinya masih relevan, meski beliau tidak pernah berada di mana-mana pentas debat sebelum ini, malah ketika menjadi Perdana Menteri dulu tidak segan-segan mengatakan berdebat bukanlah budaya di negara kita.
Dengan menunjukkan dirinya kini berani berdebat, Najib sebenarnya hanya ingin memperlihatkan beliau kini memiliki kebolehan yang pelbagai serta masih mampu memimpin negara.
Lantaran itu, sebaik habis berdebat dan ketika berjumpa penyokongnya di PWTC, Najib terus bercakap mengenai PRU15 dan keperluan UMNO mesti menang dalam pilihan raya tersebut.
Menjangkakan kesnya akan mudah selesai atau boleh diselesaikan jika UMNO menang PRU15, sasaran Najib untuk dirinya ialah PRU16 akan datang.
Tetapi, jika Najib merasakan debatnya dengan Anwar itu berjaya meletakkannya terus relevan, di samping melonjakkan lagi kerelevannya, ia barangkali suatu pertimbangan yang tidak tepat.
Selain dikira tidak begitu berjaya berbanding Anwar kerana beberapa hujahnya dipatahkan oleh Ketua Pembangkang, seterusnya menjadi persendaan berterusan di media sosial, penampilan Najib dalam debat itu juga menyerlahkan ketakutan rakyat berkenaan gaya kepimpinannya.
Dengan mengemukakan idea agar Petronas ditampilkan untuk menyelamat Sapura Energy, Najib terlihat mempunyai kecenderungan yang ketara untuk menjarah dana hasil minyak negara untuk suntikan bailout bagi menyelamatkan syarikat-syarikat tertentu.
Kalau ketika PH berkuasa dulu beliau menempelak perkara itu, sekarang ternampak keinginannya langsung tidak berbeza.
Najib, melalui debat itu turut lebih menampakkan dirinya, jika kembali berkuasa, langsung tidak berbeza dengan eranya yang gagal sebelum ini sehingga menyebabkan UMNO dan BN ditolak rakyat pada 2018 lalu.
Kecenderungan mengamalkan cash is king dan membesarkan kek dengan tujuan pengagihan terus dikawal melalui elit kuasa memperlihatkan bakal tiada perubahan kepada negara ini melalui kemunculannya buat kali kedua nanti.
Rakyat yang boleh berfikir tidak mungkin membenarkan negara ini dibawa berundur ke belakang sekali lagi melalui cara yang sebegitu.
Harapan Najib untuk kembali berkuasa melalui penampilan debatnya dengan Anwar bukan saja tidak terserlah, malah memudarkan lagi laluan perjalanannya itu.
Sebaliknya, debat itu kekal menampilkan aura serta kelebihan Anwar yang jauh lebih relevan berbanding Najib. – ShahbudinHusin 14/05/2022.