APA ITU FORENSIK AUDIT

 

Beza audit forensik dan kek besar, kek besar itu pun depa laki bini melantak berdua lepas tu ratib hidup Melayu

 

Nik Hasyudeen

rpnol93i6iacfth0t2l816m240  · 

Apa itu audit forensik?

Bila saya bangun tidur pagi ini, ada orang tanya apa itu audit forensik. Pelik juga, di pagi Jumaat ini itulah soalan pertama yang saya terima Description: 🤗

Sebenarnya ini adalah gabungan dua konsep. Yang pertama “audit” yang difahami sebagai satu usaha untuk membandingkan sesuatu dengan satu piawaian. Audit bukan terhad kepada perkara-perkara kewangan sahaja. Audit imej pun ada. Keduanya ialah “forensik” yang merupakan satu proses untuk mengetahui punca kepada sesuatu kejadian. Apabila seseorang meninggal dunia, diadakan pembedahan forensik untuk mencari punca kematian.

Jadi “audit forensik” ialah satu pemeriksaan teliti bagi mengetahui punca sesuatu perkara tetutamanya berkenaan kewangan bagi tujuan untuk mengambil tindakan undang-undang. Bahan bukti yang dikumpul mestilah cukup untuk mengambil tindakan sivil atau pun jenayah di mahkamah. Bagi pembayar cukai yang pernah disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), itu adalah satu contoh mudah berkenaan audit forensik ini. Dengan hasil auditnya, LHDN boleh mendakwa seorang pembayar cukai untuk mengutip semula cukai yang dilarikan.

Walaupun kerja-kerja audit forensik biasanya ditawarkan oleh firma-firma perakaunan yang menawarkan perkhidmatan ini, ahli-ahli pasukan audit forensik biasanya terdiri dari orang-orang dari pelbagai disiplin seperti akauntan, peguam, pakar IT dan ada juga bekas pegawai polis dari unit jenayah kewangan. Mereka benar-benar pakar di dalam menjejak bahan-bahan bukti di dalam pelbagai bentuk yang bukan sahaja berada di dalam negara malah yang berada di luar negara.

Setelah skop audit forensik dipersetujui, akauntan akan menentukan transaksi-transaksi utama yang perlu disiasat berdasarkan skop yang ditentukan itu. Dia akan mencari punca transaksi dan orang-orang yang terlibat di dalam transaksi demikian. Proses-proses yang sepatutnya diikuti dikenal pasti, dokumen-dokumen yang berkaitan serta perkara-perkara lain yang berkaitan termasuk hubungan di antara orang-orang yang menyediakan dokumen dan membuat keputusan. Pemeriksaannya termasuk samada orang-orang ini ada hubungan profesional, kekeluargaan, hubungan perniagaan, politik mahu pun hubungan cinta bagi mencari motif tindakan-tindakan mereka.

Oleh kerana bahan bukti yang dikumpul bukan sahaja dokumen fizikal tetapi termasuk dokumen elektronik, pakar IT memainkan peranan penting di dalam menjejak bukti-bukti berkenaan. Ini adalah kerana adalah biasa bukti-bukti fizikal dan juga elektronik dimusnahkan agar jenayah atau salah laku, jika ada, tidak dapat dikesan. Jadi kepakaran pakar IT di dalam mencari dan mendapatkan kembali dokumen elektronik yang sudah dipadamkan seperti email atau pun cakera padat amat penting. Jadi, bagi orang-orang yang suka menonton filem lucah, perbuatan mereka boleh dikesan melalui kerja-kerja pakar IT.

Peguam akan meneliti bukti-bukti yang didapati dan menilai samada bukti yang ada cukup untuk satu tindakan undang-undang. Kalau tindakan yang diharapkan ialah tindakan jenayah, buktinya kenalah lebih kukuh kerana di mahkamah tahap bukti yang diperlukan ialah “melangkau keraguan yang munasabah”. Biasanya peguam akan memberi nasihat bukti-bukti apa lagi yang diperlukan bagi memenuhi skop audit forensik ini.

Peranan orang-orang yang ada pengalaman menyiasat amat penting terutamannya apabila temuramah dilakukan di dalam proses mengumpulkan bukti. Mereka tahu soalan apa yang harus ditanya, bagaimana soalan itu ditanya dan bagaimana jawapan dinilai dan direkodkan. Mereka juga biasanya ada ramai kenalan di pelbagai tempat yang boleh membantu di dalam pengumpulan bukti atau mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berkenaan orang-orang yang terlibat.

Ada juga bukti-bukti yang terletak di luar negara. Ini termasuk hartanah, saham dan pelbagai perkara lagi yang berkaitan dengan apa yang diperiksa. Saksi-saksi yang berkenaan juga boleh berada di luar negara. Ini merumitkan lagi kerja-kerja audit forensik kerana bukti yang dikumpulkan mestilah boleh diterima di mahkamah di Malaysia.

Laporan audit forensik biasanya akan memberikan penjelasan berkenaan apa yang sebenarnya telah berlaku, siapa yang terlibat dan bukti-bukti samada ada unsur-unsur salah laku atau pun jenayah. Pihak yang mengarahkan audit forensik dilaksanakan kemudiannya kena membuat keputusan apakah yang harus mereka lalukan berdasarkan bukti-bukti dan saranan-saranan yang dibuat melalui laporan audit forensik. Ada tindakan dalaman dan ada juga tindakan yang berkaitan dengan pihak luar.

Bagi kes yang ada bukti bahawa jenayah atau pelanggaran undang-undang telah berlaku, laporan kepada agensi-agensi berkenaan seperti Polis, SPRM, Suruhanjaya Sekuriti dan Suruhanjaya Syarikat boleh dibuat. Agensi-agensi yang menerima laporan-laporan ini akan menilai laporan yang diterima dan bertindak berdasarkan kuasa mereka. Mereka boleh menyiasat dan mengambil tindakan seperti dakwaan di mahkamah atau pun menutup sahaja kes berkenaan. Jadi, walaupun pelapor yakin ada jenayah yang berlaku, ianya tidak semestinya dipersetujui oleh agensi-agensi yang berkenaan.

Satu perkara penting yang menyebabkan laporan audit forensik tidak lengkap ialah jejak aliran tunai (money trail). Oleh kerana pihak yang melalukan audit forensik bukankah pihak yang ada kuasa undang-undang, mereka tidak boleh menjejak aliran tunai yang terlibat seperti mana yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa seperti Polis, SPRM dan juga SC. Biasanya dengan bukti jejak kewangan yang kukuh baharukah kes lebih kukuh dan lengkap. Inilah sebabnya tindakan susulan dari agensi penguatkuasa itu penting.

Semoga penjelasan ringkas ini dapat menberikan gambaran apakah itu audit forensik. Jika belum jelas, boleh bertanya di ruang komen.

 

No comments: