Usul kecualikan kerabat diraja daripada daftar pemilih automatik lulus dengan 2/3 undi

 




Pindaan Perlembagaan itu adalah bagi mengecualikan nama Raja dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta individu lain daripada disenaraikan dalam daftar pemilih SPR. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 bagi mengecualikan pendaftaran pemilih automatik kepada kerabat diraja diluluskan di Dewan Rakyat dengan lebih 2/3 Ahli Parlimen bersetuju.

Pindaan perlembagaan itu adalah bagi mengecualikan nama Raja dan pasangan, Yang di-Pertua Negeri dan pasangan, bakal raja, waris ganti dan waris lain raja dan pasangan serta individu lain daripada disenaraikan dalam daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipersetujui semua 181 wakil rakyat kerajaan dan pembangkang yang hadir ketika pengundian.

“Oleh sebab mengikut peraturan persekutuan, RUU pindaan ini memerlukan sokongan undi tidak kurang 2/3 Ahli Parlimen, maka saya memerintah satu belah bahagian dilakukan, 2/3 undi, iaitu bermaksud tidak kurang 148 undi daripada 222 Ahli Dewan Rakyat.

“Keputusan belah bahagian seperti berikut, bersetuju 181, tidak hadir 39, tiada yang tidak bersetuju, RUU diluluskan,” kata Speaker Azhar Azizan Harun.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU itu bertujuan meminda perlembagaan dengan menambah Perkara 119A bagi mengecualikan keluarga diraja daripada didaftarkan secara automatik dalam daftar pemilih seperti diperuntukkan dalam Perkara 119 perlembagaan persekutuan.

Katanya, cadangan pindaan itu sudah dipersetujui secara bersama antara semua kerajaan negeri, dipersetujui di peringkat Jemaah Menteri pada 4 Mac lalu dan dibentang dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Raja-raja pada 8 hingga 12 Mac.

Beliau berkata, perkara itu juga selaras dengan keistimewaan dan kewibawaan Raja-raja Melayu dan kedudukan Yang di-Pertua Negeri seperti termaktub dalam peruntukan perlembagaan atau undang-undang tubuh negeri.

Terdahulu, ketika membahaskan RUU itu Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mempersoalkan jika ia diluluskan bermakna hak Raja dan isteri telah dicabut sebagai pemilih.

“Adakah kita meluluskan RUU ini bermakna kita bergerak ke depan dari segi demokrasi sebagai sebuah masyarakat yang progresif atau apabila kita cabut hak kesamarataan, hak memilih kepada Raja-raja ini kita sebenarnya undur ke belakang.

“Jadi saya mohon menteri jelaskan perkara ini kerana ini hak mereka, hak baginda, hak Raja-raja, ini Dewan Rakyat, bukan dewan Raja, adakah Dewan Rakyat ini nak mencari hak asasi, kebebasan Raja-raja, isteri dan sebagainya.

“Saya tak mahu lima tahun akan datang, 10 tahun akan datang, waris Raja-raja akan berarak Bersih 7, Bersih 8 untuk tuntut hak mereka sebagai pemilih yang diiktiraf perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, Hatta Ramli (PH-Lumut) ketika mencelah perbahasan Hassan bertanya, jika RUU itu diluluskan, adakah Raja-raja dan kerabat boleh memohon secara aktif untuk menjadi pengundi.


No comments: