Selepas 7 bulan kabinet PM Ismail masih belum isytihar harta, gubal Akta Deklarasi Aset - Sim

 

Perisytiharan harta merupakan pembaharuan besar yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) dalam mentadbir Putrajaya selepas 2018.

Dengan perisytiharan harta menteri kabinet dianggap tidak berani untuk mengumpul harta yang bukan daripada sumber rasmi pendapatan mereka manakala rakyat boleh menilai kejujuran menteri dalam melaksanakan tanggungjawab.

Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, amalan perisytiharan harta mewajibkan anggota kabinet menyatakan pendapatan, aset, liabiliti dan butiran kewangan mereka, termasuk harta boleh alih seperti kenderaan, barang kemas, lesen dan permit, saham, bon dan sekuriti serta pendapatan bulanan dan nilai simpanan bank. Semua anggota pentadbiran diwajibkan mengisytiharkan aset dalam tempoh 90 hari.

"Menteri Undang-Undang pada masa itu (PH) Datuk Liew Vui Keong memberitahu jika seorang Ahli Parlimen membuat deklarasi palsu, mereka akan terikat oleh Act 783 Statutory Declarations Act 1960 dan Section 199 Kanun Keseksaan.

"Semasa kerajaan Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mengumumkan anggota pentadbiran mesti menyerahkan pengisytiharan harta dalam tempoh tiga bulan dari tarikh mengangkat sumpah.

"Datuk Takiyuddin sebagai Menteri Undang-Undang pada masa itu berkata anggota pentadbiran yang gagal berbuat demikian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sim lagi, rujukan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen itu adalah berdasarkan Peraturan Mesyuarat 80 kerana melanggar hak dan keistimewaan prosiding Parlimen.

Bagaimanapun, ujarnya, timbul keraguan hari ini sama ada anggota pentadbiran Kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih komited kepada pengisytiharan aset seperti amalan kerajaan PH dan PN yang lalu.

"Saya telah menanya soalan parlimen kepada Perdana Menteri sama ada Kerajaan masih komited dengan dasar pengisytiharan dan pemaparan harta oleh anggota pentadbiran.

"Saya amat terkejut dengan jawapan yang diberikan, iaitu: "SPRM merupakan platform untuk pemaparan harta melalui portal dan bukan menjadi tanggungjawab SPRM untuk memaksa mana-mana pihak untuk mengisytiharkan harta mereka. SPRM hanya diberikan mandat oleh Kabinet untuk menentukan masa dan kaedah pemaparan perisytiharan harta sahaja."

"Maksudnya, anggota pentadbiran tidak lagi diwajibkan mengisytiharkan harta dan SPRM tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.

"Ini satu masalah besar apabila SPRM tidak diberi kuasa mencukupi untuk menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.

Tegas Sim, Menteri dan Timbalan Menteri yang dilantik oleh PM Ismail Sabri mengangkat sumpah pada 30 Ogos 2021 dan mereka sepatutnya mengisytiharkan aset pada 30 November 2021. Bagaimanapun selepas 210 hari atau 7 bulan, anggota pentadbiran ini masih belum mengisytiharkan aset .

Manakala jawapan bertulis yang diterimanya berbunyi: "Ahli Parlimen yang gagal mengisytiharkan harta akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mengikut Peraturan Mesyuarat 80 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat kerana melanggar hak dan keistimewaan."

"Oleh itu, saya menyeru Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Junaidi agar segera mengambil tindakan merujukan anggota-anggota pentadbiran yang belum mengisytiharkan aset ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk tindakan selanjutnya," kata Sim.

Dalam pada itu, Pengarah Strategi KEADILAN itu turut mencadangkan agar dibentang Akta Deklarasi Aset untuk semua anggota pentadbiran merangkumi Menteri, Timbalan Menteri dan juga Setiausaha Politik bagi menggantikan amalan perisytiharan harta yang agak longgar sebelum ini

"Hal itu sejajar dengan obligasi negara kita di bawah United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada 24 September 2008.

"RUU ini mustahak untuk kepengunaan SPRM bagi meneliti, menyemak dan mensahkan deklarasi yang dibuat dan dapat mewajibkan pihak pentadbiran untuk membuat deklarasi.

"Tanpa undang-undang pengisytiharan aset wajib, SPRM hanya memainkan peranan "penjaga" dalam kes borang pengisytiharan aset diserahkan kepadanya dan tidak melakukan sebarang pengesahan ke atas dokumen pengisytiharan aset yang diserahkan," katanya lagi.

Sehubungan itu, Sim dalam kenyataannya mendedahkan nama nama menteri yang masih lagi tidak mengisytiharkan harta seperti Senator Datuk Ustaz Hj. Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri Wilayah Persekutuan; Tan Sri Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pembangunan Keusahwanan dan Koperasi; Datuk Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar; Yamani Hafez Musa, Timbalan Menteri Kewangan; Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Pendidikan; Datuk Seri Jalaluddin Alias, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.