‘Kita ada pencuri royalti pasir di Melaka ini’

 


Oleh FAZLI RADZI / November 12, 2021

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron mengulangi dakwaannya ada pihak tertentu yang menipu Kerajaan Persekutuan berkaitan royalti pasir laut.

Beliau sebelum ini pernah memberitahu hal tersebut kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari.

“Saya pernah kata kepada Adly, ada golongan yang mencuri royalti pasir. Kita ada pencuri royalti pasir di Melaka ini.

“Royalti pasir ini perlu dibayar kepada kerajaan Pusat. Siapa yang bayar? Pemegang permit pasir. Tetapi hari ini pemegang permit pasir itu tidak membayar harga yang sepatutnya. Dia menipu kerajaan pusat,” tegasnya.

Bekas Ketua Menteri selama lima tahun bermula 2013 yang menggantikan Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam itu berkata demikian dalam temubual eksklusif malam tadi bersama Youtuber Jeming Hassan.

Idris (kiri) ketika ditemubual Jeming malam tadi.

Idris, 55, berkata, memang ada pihak yang mengesahkan penipuan royalti pasir laut itu bahkan penipu terbabit difahamkan telah memusnahkan fail berkaitan projek mengorek pasir bagi mengelak penyelewengan dikesan pihak berkuasa.

“Pengisytiharannya (jumlah pasir laut yang dilombong dan dilambakkan di darat) kepada kerajaan pusat kurang. Orang itu telah mencuri duit awam hampir ratusan juta ringgit.

“Memang ada kecurian. Ada orang lapor kepada saya. Kebetulan ketika saya bawa isu ini dalam sidang DUN, saya mendapat laporan ada yang membakar dokumen-dokumen untuk menghilangkan bukti di bawah pengisytiharan tersebut.

“Ini adalah suatu jenayah,” tegasnya sambil memetik terjemahan Surah ar-Rum, ayat 41 iaitu, “Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia, (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Untuk rekod, Idris calon Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berdepan pertembungan enam penjuru di DUN Asahan pada 20 November ini.

No comments: