Calon Ketua Menteri BN enggan berdebat

 

politik

Sulaiman Md Ali, Ketua Menteri sementara Melaka enggan menerima cadangan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim agar debat diadakan antara calon ketua menteri daripada tiga gabungan utama yang bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Memetik laporan Malaysiakini, beliau dicalonkan sebagai ketua menteri oleh Barisan Nasional (BN) jika gabungan itu memenangi PRN Melaka dan dia lebih berminat untuk memberi tumpuan kepada kempen PRN.

“Tak payahlah. Kita habiskan pilihan raya ni dululah.

“Kita tumpukan dulu kerja yang ada ni,” katanya kepada Malaysiakini.

Calon Ketua Menteri BN enggan berdebat

Ketua Menteri sementara Melaka, Sulaiman Md Ali

Sebelum ini, Anwar mencadangkan agar debat diadakan di kaca televisyen antara calon ketua menteri PH, Adly Zahari dan calon daripada BN dan PN.

Annuar Musa yang Menteri Komunikasi dan Multimedia turut berkata kerajaan bersedia menimbang untuk memberi ruang kepada calon PRN Melaka termasuk dari pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Ujarnya, kerajaan memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baru untuk berkempen dalam suasana norma baru.

PN yang terdiri daripada Bersatu, PAS, Gerakan, Star dan SAPP belum lagi memberi nama calon bagi jawatan ketua menteri Melaka.

Bagaimanapun, terdapat desas-desus yang mengatakan Naib Presiden Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen, yang juga Pengerusi PN Melaka dan Pengerusi Bersatu Melaka bakal dicalonkan sebagai ketua menteri daripada Bersatu.

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, yang juga bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara juga turut disebut-sebut sebagai calon.

Rafiq, ketika dihubungi enggan mengulas mengenai debat yang dicadangkan Anwar dan memberitahu Malaysiakini untuk menunggu pengumuman daripada pengerusi PN, Muhyiddin Yassin mengenai calon ketua menteri daripada PN.

No comments: