Rundingan kerajaan-PH bukan untuk perjanjian CSA, kata Saifuddin

 

Saifuddin Nasution berkata berkata, tidak ada keperluan untuk Ismail mengikat perjanjian CSA dengan PH kerana beliau mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

PETALING JAYA: Sebarang rundingan antara kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dengan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melibatkan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA), kata Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution.

“Ia bukan perjanjian CSA antara kerajaan dan PH tetapi lebih kepada satu persefahaman demi kebaikan rakyat.

“(Rundingan) perjanjian CSA sebelum ini adalah inisiatif individu, antara beberapa pemimpin pembangkang dan kerajaan terdahulu di bawah Muhyiddin Yassin,” Malaysiakini memetik Saifuddin sebagai berkata.

“Sekarang ia (rundingan) sudah jadi formal antara kerajaan dengan pembangkang. Finaliti itu bergantung komitmen kerajaan Ismail terhadap agenda prorakyat dan proreformasi,” katanya.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung PKR, berkata tidak ada keperluan untuk Ismail mengikat perjanjian CSA dengan PH kerana beliau mempunyai sokongan majoriti di Parlimen.

“Dalam kes Muhyiddin dia jelas hilang majoriti. Jadi, dia adakan inisiatif perjanjian dengan beberapa Ahli Parlimen pembangkang secara individu.

“Tapi Ismail buat masa ini ada sokongan 114 ahli parlimen. Jadi tiada keperluan CSA. Rundingan itu bukan lagi modal CSA,” katanya.

Saifuddin menolak kenyataan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua daripada DAP bahawa PH sedia menerima perjanjian CSA dengan Ismail sekiranya beliau membuat tawaran serupa seperti yang dilakukan Muhyiddin.

“Kenyataan Tony ‘terlalu awal’. Proses rundingan masih di peringkat awal untuk membuat (apa-apa) keputusan.

“Kami baru-baru ini dihubungi oleh wakil PM setelah Ismail mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin PH minggu lepas. Yang paling penting, PH tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan (sekarang),” kata Saifuddin.

Sementara itu, Saifuddin turut memberitahu bahawa PH menubuhkan jawatankuasa kerja untuk menguruskan rundingan dengan kerajaan.

“Ini fasa pertama. Apa-apa keputusan terakhir akan dibuat oleh Majlis Presiden PH,” katanya.

Beliau berkata rundingan antara kerajaan dan PH tidak lagi fokus kepada undang-undang anti lompat parti, mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri dan reformasi Parlimen semata-mata.

“Sekarang sudah ada tambahan, tertakluk kepada keputusan kedua-dua pihak,”katanya.

Ismail mengangkat sumpah sebagai perdana menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu setelah mendapat sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen.

Beliau akan berdepan undi percaya untuk menentukan keabsahan sebagai perdana menteri apabila Parlimen bersidang mulai 6 September ini.

No comments: