ISMAIL SABRI NAMPAK TIDAK BERHATI BUDI, UMNO RASA TAK PUAS HATI



Meski UMNO sudah berjaya mendakap kerusi Perdana Menteri, masih lagi kedengaran suara-suara tidak puas hati dalam parti itu terhadap Ismail Sabri Yaakob.


Paling kuat terdengar suara tidak tidak puas hati ialah berikutan tindakan Ismail Sabri mengenepikan Kumpulan 15 Ahli Parlimen UMNO yang telah berjasa besar menjatuhkan Mahiaddin Md Yasin dalam lantikan kabinet yang dibuatnya Jumaat lalu.


Daripada 15 orang itu, hanya dua diberikan jawatan iaitu Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Noraini Ahmad sebagai Menteri Pengajian Tinggi.


Itu pun, Noh dikatakan boleh dianggap main dua kolam kerana turut hadir dalam perjumpaan bersama Ahli-Ahli Parlimen BN di Audirorium DBKL yang diketuai Ismail Sabri selaku Timbalan Perdana Menteri ketika itu, meskipun sebelumnya telah setuju untuk menarik sokongan terhadap Mahiaddin.


Noraini pula, di sebalik meletak jawatan sebelum itu, perlantikannya didakwa lebih disebabkan kedudukannya sebagai Ketua Wanita UMNO, sayap kanan yang penting dalam parti.


Seorang lagi menteri dalam Kumpulan 15 yang lebih dulu meletak jawatan, Shamsul Anuar Nasarah, tidak pula dilantik semula sebagai menteri.


Ini berbeza dengan tuah kumpulan Ahli Parlimen UMNO yang mempertahankan Mahiaddin di mana semuanya dikekalkan jawatan menteri atau timbalan menteri yang dipegang sebelum itu.


Bahkan, Shahidan Kassim yang diketahui kuat mencemuh Presiden UMNO dan gigih mempertahankan Mahiaddin, turut diberikan “ghanimah” sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.


Jadi, di mana keadilannya?


Apakah mereka yang telah berjasa besar menjatuhkan Mahiaddin dan membolehkan Ismail Sabri beroleh jawatan Perdana Menteri dianggap tidak bernilai apa-apa?


Memang diakui sebahagian daripada Kumpulan 15 itu masih berdepan kes mahkamah, tetapi bagaimana dengan yang tiada apa-apa kes seperti Ahli Parlimen Jerantut dan Cameron Highlands?


Apakah mereka tidak layak diberikan apa-apa jawatan?


Apakah juga Shahidan Kassim jauh lebih baik dan berwibawa daripada kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan di mata Ismail Sabri?


Secara kasarnya, memang ternampak tidak berhati budi tindakan Ismail Sabri mengenepikan Kumpulan 15 dan memberi kelebihan kepada Ahli Parlimen UMNO yang bukan saja tetap mempertahankan Mahiaddin, bahkan tidak menunjukkan kesetiaan kepada keputusan parti sendiri.


Lebih-lebih lagi Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan langsung diketepikan begitu saja berbanding Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang diberikan jawatan menteri.


Selepas ini akan nampak lekehlah Timbalan Presiden UMNO kerana tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan.


Dalam hal ini, tidak salah bila Mohamad Hasan memberi reaksi dalam videonya yang tular – ada orang nak ‘bunuh’ saya.


Kalau Dr Radzi Jidin daripada Bersatu dan Idris Ahmad daripada Pas yang merupakan senator boleh dilantik sebagai menteri, di mana salahnya Mohamad Hasan dijadikan senator juga dan kemudian dilantik sebagai menteri?


Dengan tindak-tanduk awal yang ditunjukkan Ismail Sabri setakat ini, ada cahayakah di hujung terowong bagi Zahid Hamidi, Najib Razak dan lain-lain pemimpin UMNO yang sedang berjuang menentukan nasib masing-masing di mahkamah?


Atau cahaya yang seolah-olah kelihatan sekarang ini berikutan kuasa sudah kembali ke genggaman UMNO adalah lampu daripada kepala keretapi yang akan melanggar dan meranapkan habis mereka itu? –


 ShahbudinHusin 29/08/2021.



No comments: