Kecoh! Pemimpin PAS pro-UMNO dan pro-Bersatu makin teruk bertembung

 


Kecoh! Pemimpin PAS pro-UMNO dan pro-Bersatu makin teruk bertembung

Perpecahan dalam PAS di antara kelompok pro-PPBM dan pro-Umno semakin melebar sejak parti Islam itu menyertai gabungan kerajaan setahun lalu, kata dua sumber terdekat dengan kelompok berkenaan.

Satu kelompok dikatakan menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN), manakala yang satu lagi mahu kerjasama Muafakat Nasional (MN) diperkukuhkan.

Salah seorang sumber memberitahu FMT bahawa keretakan semakin melebar susulan sokongan yang diberikan kepada PPBM dan juga tindakan sebahagian pemimpin PAS yang tidak mengendahkan beberapa pemimpin Umno.

“Satu kelompok lagi kekal menyokong Umno.

“Seolah-olah PAS kini mempunyai dua pemimpin. Seorang agresif, manakala seorang lagi yang menyokong Umno memilih untuk berdiam diri,” jelasnya.

PAS yang merupakan salah satu parti dalam gabungan PN turut menjalin kerjasama dengan Umno di bawah MN.

Kelompok pro-PPBM berharap kes mahkamah melibatkan pemimpin Umno yang didakwa terbabit dengan skandal rasuah dipercepatkan sebelum pilihan raya umum ke 15 bagi merealisasikan keinginan untuk melihat pemimpin Umno yang terbabit diketepikan daripada arena politik.

“Ada gerakan yang menggesa pilihan raya diadakan menjelang September, atau selepas kes membabitkan pemimpin Umno selesai, “ tambah beliau.

Sumber itu turut memberitahu, susulan perpecahan yang berlaku, Umno dan PAS belum mencapai kesepakatan berhubung isu pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada pilihan raya akan datang.

Sebelum ini dilaporkan bahawa perebutan kerusi dijangka berlaku dalam gabungan MN dengan keadaan tegang di sekurang-kurangnya empat negeri, iaitu Terengganu, Johor, Perak dan Selangor.

Dilaporkan Umno mahu meletakkan calon di semua kerusi di Terengganu.

FMT sebelum ini memetik sumber yang menghadiri mesyuarat Umno di Janda Baik minggu lalu berkata, antara yang disepakati ialah untuk tidak menjalin kerjasama dengan PPBM dan menolak jawatan timbalan menteri jika ditawarkan.

Bagaimanapun tiada sebarang keputusan dibuat mengenai kerjasama dengan PAS dalam MN.

Namun sumber dalaman PAS berkata, pemimpin parti yang rapat dengan PPBM tidak mahu Umno menikmati monopoli yang dimiliki parti itu sebelum ini.

Pada PRU 14, PAS menang 18 kerusi Parlimen, dengan majoritinya di Kelantan dan Terengganu.

Satu lagi sumber memberitahu FMT bahawa kelompok yang menyokong Umno telah diingatkan supaya tidak mencetuskan keretakan dalam parti.

“Sebaik kes di mahkamah selesai, pemimpin PAS yang rapat dengan PPBM akan kembali bersama kami dan menyokong Muafakat Nasional. Kami dimaklumkan begitu,” kata beliau.

Namun katanya, ketegangan itu mula dirasai apabila semakin ramai anggota akar umbi mengetahui mengenai keretakan yang berlaku dalam kepimpinan PAS.

Kali terakhir PAS berdepan perpecahan ialah ketika pemimpinnya berbelah bahagi untuk menyokong Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Ini menyaksikan sebahagian pemimpin PAS keluar parti untuk membentuk Amanah dan menyertai Pakatan Harapan (PH), gabungan yang menggantikan PR. 



No comments: