BUNG MOKHTAR KINI TERKETEPI,WAJAR UMNO PULA BERTINDAK JATUHKAN MUHYIDDIN

 

Presiden UMNO, Zahid Hamidi nampaknya tetap berkeras mahukan Pengerusi BN Sabah, Bung Mokhtar Radin dilantik sebagai Ketua Menteri baru negeri itu.

Katanya, UMNO sudah dua kali beralah kepada Bersatu – pertama dalam soal lantikan Perdana Menteri dan kedua, berkaitan lantikan Menteri Besar Perak.

Untuk itu, tegas Zahid, tidak wajar bagi BN menyerahkan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada Bersatu kerana mereka telah berkorban sebanyak dua kali.

“Kita telah bagi dua kali – satu di Perak, di mana Bersatu hanya ada empat Adun dan UMNO ada 25.

“Tetapi kita setuju Adun Bersatu (Ahmad Faizal Azumu) dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

“Juga bila kita bentuk kerajaan persekutuan dengan Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), meskipun parti Muhyiddin Yassin tidak mempunyai bilangan Ahli Parlimen yang ramai, kita setuju dia diangkat sebagai Perdana Menteri,” katanya seperti dipetik daripada The Star.

Justeru, tambah Zahid Hamidi lagi, UMNO dan BN tidak beralah lagi kepada Bersatu kali ini.

“Saya tidak akan setuju jika bukan Bung Mokhtar yang dilantik untuk menjadi Ketua Menteri.

“Tidak,” katanya dengan tegas.

Begitu pun, ada laporan lain menyebut bahawa Bersatu sedang giat melobi untuk mengenepikan Bung Mokhtar dan mahu calon parti itu, Hajiji Noor dilantik sebagai Ketua Menteri.

Dalam situasi ini, kalau Bung Mokhtar yang akan menerima watikah daripada TYT Sabah pagi esok, masalah barangkali tidak banyak yang akan timbul.

Ini kerana Bersatu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap UMNO kerana Bersatu lebih bergantung nyawa kepada UMNO berbanding UMNO bergantung nyawa kepada Bersatu.

Tetapi, ribut besar tentu saja akan melanda jika akhirnya Hajiji yang dilantik sebagai Ketua Menteri.

Apa pilihan terbaik harus dilakukan UMNO jika Bung Mokhtar terketepi?

Sebagai membuktikan ketegasan Zahid Hamidi dalam soal ini, tiada pilihan lain harus dilakukannya jika Bung Mokhtar tidak dilantik menjadi Ketua Menteri melainkan UMNO dan BN mesti segera menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

Dengan tindakan itu, jatuhlah Muhyiddin dan PRU semula terpaksa diadakan.

Selepas pilihanraya baru, UMNO dan BN tentu saja mempunyai peluang lebih baik menguasai Putrajaya berbanding Bersatu.

Itulah sebaik-baik cara untuk mengajar Bersatu agar sedar siapa diri mereka.

UMNO dan Bersatu tidak boleh berada dalam satu kelambu – eloklah berpisah daripada terus bersama. (Shahbudindotcom 28/09/2020)