MENJAWAB MAZLEE MALIK..GALAH SEJENGKAL TAK WAJAR BERCITA-CITA MENJADI PERDANA MENTERI



Saya mengambil maklum kenyataan YB Dr Maszlee Malik yang disiarkan Malaysiakini bertarikh 12 June 2020. Sila rujuk laporan “Maszlee: Jawatan PM ke-9 bukan hak mutlak Anwar”, https://www.malaysiakini.com/news/529933.

Pengalaman 22 bulan di bawah kepimpinan Tun Mahathir sewajarnya memberi pengajaran yang cukup kepada Pakatan Harapan. Di awal pentadbiran beliau Tun Mahathir sudah mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan iltizam perjuangan Pakatan Harapan. Rujuk laporan “Dr M: Manifesto HARAPAN bukan 'kitab suci'” https://www.malaysiakini.com/news/434417.

Pentadbiran 22 bulan itu juga memperlihatkan bagaimana Pakatan Harapan gagal mengawal naratif anti-melayu yang dimainkan oleh pembangkang ketika itu. Manifesto berkaitan Pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN terbiar tanpa penyelesaian tuntas. Natijahnya, YB Dr Maszlee Malik sendiri akhirnya terpaksa melangkah keluar daripada Kementerian Pendidikan.

Realitinya, Pakatan Harapan perlu mengakui bahawa tempoh 22 bulan yang lalu gagal dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengangkat taraf hidup rakyat. Kualiti hidup rakyat terbawah masih sama seperti mana zaman pemerintahan UMNO Barisan Nasional. Oleh itu adalah tidak menghairankan apabila tidak ada reaksi yang ketara daripada rakyat apabila Kerajaan Pakatan Harapan ditumbangkan secara zalim oleh komplot jahat pintu belakang.

Justeru saya ingin memetik kata-kata Albert Einstein yang pernah dipinjam oleh YB Dr Maszlee Malik, “Insanity is doing the same thing over and over again and expecting different results”. Lalu bagaimana kita ingin mengharapkan Malaysia yang berbeza jika kita masih ingin mengangkat pemimpin yang sama?

Berbicara soal nombor sokongan yang diperolehi oleh Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir, matematik mudah menunjukkan Anwar Ibrahim memiliki sokongan 91 Ahli Parlimen Pakatan Harapan. Tun Mahathir pula memiliki sokongan yang pasti iaitu lima Ahli Parlimen mantan Bersatu termasuk diri beliau sendiri.

Lalu saya bersetuju dengan kenyataan YB Dr Maszlee Malik yang menyifatkan Tun Mahathir ialah pemilik galah sejengkal yang diperlukan untuk Pakatan Harapan mengambil semula tampuk pemerintahan negara. Namun agak aneh apabila Maszlee mencadangkan pemilik galah sejengkal ini yang perlu diangkat mengetuai Kerajaan. Lalu Anwar Ibrahim yang memiliki sokongan 37 Ahli Parlimen PKR, dan sokongan daripada rakan-rakan DAP dan AMANAH dipaksa untuk mengalah.

Mengapa tidak Maszlee memujuk pemilik galah sejengkal ini dan penyokong-penyokongnya untuk sama-sama berdiri teguh mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Jika alasan untuk memaksa Anwar Ibrahim mengalah ialah negara ini dalam bahaya dan memerlukan perubahan segera. Lalu mengapa alasan ini seolah-olah hanya tertuju kepada Anwar Ibrahim. Bukankah atas alasan yang sama Tun Mahathir dan gerombolannya juga perlu berlapang dada dan sepakat mengangkat Anwar Ibrahim.

Saya bersetuju bahawa jawatan Perdana Menteri bukan hak mutlak sesiapa. Tetapi apakah Maszlee tidak sedar bahawa beliau seolah-olah sedang memutlakkan jawatan Perdana Menteri itu hanya kepada Tun Mahathir?

Anwar Ibrahim tidak akan berdiri sebagai calon Perdana Menteri jika tidak ada pihak yang menamakan beliau sebagai calon. Dalam hal ini, Pakatan Harapan dengan komposisi 91 Ahli Parlimen sebulat suara menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Soalnya sekarang, pihak manakah pula yang menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri?

Adalah lebih mudah sekiranya Maszlee sama-sama membantu untuk merasionalkan Tun Mahathir agar memberi sokongan padu kepada Anwar Ibrahim. Bukan lagi merayu untuk Anwar Ibrahim mengalah buat kesekian kalinya.

Sekian.

Ahmad Syukri Bin Che Ab Razab.
Setiausa Angkatan Muda Keadilan

https://www.facebook.com/100000775992720/posts/3244573098911858/?d=n



No comments: